Cari @ Amanz

Kawasan Tun Razak Exchange, ataupun lebih dikenali sebagai TRX akan mempunyai jalan bawah tanah yang akan bersambung kepada beberapa lebuhraya dan juga tempat letak kenderaan bangunan yang terkenal di kawasan tersebut.

Salah satu daripada isu yang akan membelenggu ramai pemandu apabila menggunakan jalan bawah tanah ini ialah kehilangan isyarat GPS khususnya jika anda tidak biasa dengan kawasan tersebut.

Terkini, syarikat pembangunan TRX, iaitu TRX City Sdn Bhd telah mengumumkan bahawa mereka telah bekerjasama dengan Waze untuk memasang peranti Waze Beacon untuk memastikan para pemandu di jalan-jalan bawah tanah ini masih boleh menggunakan aplikasi GPS tanpa perlu risau mengenai isu hilang isyarat.

Menurut Dato’ Azmar Talib, CEO TRX City Sdn Bhd, jalan-jalan bawah tanah kawasan TRX ini akan menjadi kawasan pertama di Asia Tenggara yang akan menggunakan peranti Waze Beacon ini, yang akan disambungkan ke beberapa lebuhraya yang sering digunakan untuk masuk dan keluar kawasan Jalan Tun Razak, seperti Smart Tunnel, Bulatan Kampung Pandan dan juga lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway.

Buat masa ini, peranti Waze Beacon ini sudahpun dipasang di ruang bawah tanah Basement 2 dan 3 TRX yang merangkumi 24 titik keputusan (bila anda perlu memusing ke kiri atau kanan dan sebagainya), dan bergantung kepada keberkesanannya, ia akan dipasang di lebih banyak kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan juga Malaysia.

Menurut Waze, isyarat peranti-peranti tersebut bukan sahaja boleh digunakan oleh Waze, tetapi juga aplikasi-aplikasi GPS yang lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd