Kerentanan Pada Cip MediaTek Mendedahkan Jutaan Peranti Android Kepada Penggodam

Kerentanan Pada Cip MediaTek Mendedahkan Jutaan Peranti Android Kepada Penggodam

Diterbitkan pada Mac 4, 2020 oleh .

Semakin ramai pengguna di seluruh dunia semakin selesa menjadikan telefon pintar sebagai komputer mereka. Urusan perbankan dan pembelian misalnya semakin banyak dilakukan pada telefon pintar berbanding pada sebuah komputer. Tetapi mungkin ramai tidak menyedari masalah sekuriti yang wujud pad peranti milik mereka. Menurut laporan XDA-Developer, jutaan peranti Android yang menggunakan cip MediaTek terdedah kepada kerentanan sekuriti yang serius.

Kerentanan ini membenarkan akses kepada root yang membuka Kotak Pandora kepada pelbagai masalah sekuriti. Segala aktiviti berkemungkinan dipantau kerana kerentanan serius ini. Pada waktu ini kerentanan ditemui pada 25 cip keluaran MediaTek termasuk dari siri Helio yang popular oleh pengeluar peranti mampu milik.

Kerentanan ini sebenarnya telah dilaporkan sejak Februari 2019 tetapi tahap keseriusannya hanya disedari baru-baru ini. Ia cukup serius sehingga Google meminta XDA menangguhkan penerbitan artikel mereka selepas kerentanan ditampal menerusi kemas kini sekuriti untuk bulan Mac 2020.

Berita baik bagi pemilik peranti dengan cip MediaTek yang terjejas ialah kerentanan boleh ditampal menerusi kemas kini yang disebut tadi. Ia juga tidak berlaku pada peranti yang menggunakan sistem operasi Android 10. Masalah ketara di sini ialah majoriti peranti Android dengan cip MediaTek jarang sekali menerima kemas kini sekuriti bulanan dari pengeluar atau menggunakan Android 10.

Senarai lengkap 25 cip yang mengalami kerentanan ini adalah seperti di bawah.

  1. MT6580
  2. MT6595
  3. MT6735
  4. MT6737
  5. MT6738
  6. MT6739
  7. MT6750
  8. MT6753
  9. MT6755 – Helio P10
  10. MT6757 – Helio P20
  11. MT6758 – Helio P30
  12. MT6761 – Helio A22
  13. MT6762 – Helio P22
  14. MT6763 – Helio P23
  15. MT6765 – Helio P35
  16. MT6771 – Helio P60
  17. MT6779 – Helio P90
  18. MT6795 – Helio X10
  19. MT6797 – Helio X20
  20. MT6799 – Helio X30
  21. MT8163
  22. MT8167
  23. MT8173
  24. MT8176
  25. MT8183


TIPS & ULASAN