Cari @ Amanz

Walaupun Moment telah menghentikan sokongan aplikasi Pro Camera mereka untuk peranti Android, Moment masih tidak mengalah lagi untuk menyokong peranti-peranti ini. Aksesori-aksesori untuk peranti Android akan terus disokong oleh Moment. Sebelum ini, penggunaan lensa modular Moment adalah terhad kerana kerangka pelindung wajib digunakan sekali untuk menggunakan lensa mereka. Jadi, peranti-peranti Android lama atau kelas pertengahan tidak akan dapat menggunakan lensa Moment.

Terkini, Moment telah hadir dengan satu jalan penyelesaian dengan melancarkan cagak universal. Cagak ini boleh digunakan tidak kira pada tablet seperti iPad atau apa jua peranti Android. Cagak ini diperbuat daripada aluminium dan perlu dipasangkan dari sisi peranti. Pada sebelah bahagian cagak ini terdapat skru pengetat untuk mengetatkan cagak pada peranti. Di bahagian lain terdapat plat gelongsor dengan cagak lensa terbina. Cagak ini turut dilindungi dengan lapisan pelindung untuk melindungi peranti. Cagak ini boleh digunakan pada mana-mana peranti, asalkan tebalnya kurang dari 10.75mm, palt gelongsor boleh mencapai ke kamera pada jarak 39mm dari tengah ke sisi.

Walau bagaimanapun, Moment masih menggalakkan pengguna menggunakan kerangka rasmi mereka (peranti yang disokong) untuk lensa mereka lebih jajar dengan kamera peranti. Tetapi alternatif cagak ini adalah lebih kepada penggunaan untuk kamera swafoto atau peranti yang tidak disokong oleh Moment.

Harga jualan adalah $29.99, iaitu sekitar RM125.37. Moment turut hadir dengan variasi siri-O (rekaan cagak lama, yang baru adalah siri-M) pada harga yang sama. Ia sudah boleh dipra-tempah sekarang dan Moment turut boleh hantar tempahan ke Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd