Cari @ Amanz

Filem animasi Studio Ghibli ialah antara studio yang paling disegani di dunia kerana menghasilkan banyak filem yang mencapai tahap klasik. Kebanyakan filem klasik ini diarahkan oleh Hayao Miyazaki yang menerima jolokan Walt Disney Asia. Bagi peminat Studio Ghibli di Malaysia, anda akhirnya boleh menstrim pelbagai album runut bunyi filem-filem animasi mereka menerusi Spotify.

Pada waktu ini runut bunyi yang dihasilkan oleh Joe Hisaishi sahaja ditawarkan kepada pengguna. Antara yang boleh distrim ialah album dari filem Princess Monoke, Porco Rosso, My Neighbour Totoro, The Wind Rises, Spirited Away dan banyak lagi. Selain runut bunyi rasmi, album imej yang mendapat inspirasi dari muzik asal turut boleh distrim.

Minggu lalu Studio Ghibli mula menawarkan muzik mereka ke Spotify dan Apple Music kepada pengguna di Jepun. Kami hanya menyedari kewujudan album-album ini di Malaysia sejak semalam. Sebelum ini Studio Ghibli menawarkan album-album mereka hanya menerusi Apple Music kepada pengguna di Malaysia. Selamat mendengar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd