Google Assistant Kini Boleh Membaca Laman Web Menerusi Arahan Suara

Google Assistant Kini Boleh Membaca Laman Web Menerusi Arahan Suara

Diterbitkan pada Mac 5, 2020 oleh .

Bangsa membaca ialah bangsa yang melawan. Tetapi akui sahaja kebanyakan di antara kita tidak mempunyai masa untuk membaca kerana kesibukan di tempat kerja dan kurangnya masa lapang. Google hari ini memperkenalkan ciri baru pada Google Assistant yang membolehkan laman web dibaca dan dialih bahasa menerusi arahan suara.

Anda hanya perlu pergi ke laman web yang ingin dilayari. Kemudian hanya berikan arahan suara “Ok Google read it” dan secara automatik Assistant akan membaca laman tersebut seperti seorang pembaca berita. Tambah menarik Assistant boleh mengalih bahasa sebarang laman web secara automatik menerusi pilihan pengguna.

Sebagai contoh kami menetapkan bahasa sistem operasi Android kepada Inggeris dan Assisstant terus membaca laman Amanz dalam bahasa Inggeris. Pengguna boleh mengubah bahasa dengan menekan menu pada hujung kanan skrin. Kelajuan membaca turut boleh diubah menerusi menu yang terpapar pada bawah skrin.

Sebanyak 42 bahasa disokong pada waktu ini. Malang bagi rakyat Malaysia, bahasa Melayu masih belum disokong pada waktu ini. Dengan ciri ini anda boleh “membaca” laman web walaupun ketika memandu kerana Assistant boleh diseru dengan menggunakan suara.

Untuk menikmati ciri terkini Assistant ini anda perlu mengemaskini aplikasi Google dan Chrome ke versi terkini serta membenarkan Assistant untuk membaca paparan skrin.



TIPS & ULASAN