Cip-cip pemprosesan yang dibina menggunakan proses 7nm baru sahaja dibangunkan dan dipasarkan tahun lepas. Syarikat-syarikat seperti AMD, Samsung dan NVIDIA semuanya mempunyai produk-produk yang menggunakan teknologi ini, dan telah memperlihatkan kemampuan dan keuntungan berkali ganda.
Tahun ini, nampaknya tiba giliran cip 6nm pula menunjukkan kebolehan mereka. SoC (system on a chip) pertama yang menggunakan teknologi fabrikasi 6nm EUV dinamakan Unisoc T7520, dan merupakan sebuah CPU untuk peranti mudah-alih lapan teras dengan modem 5G terbina didalamnya.
SoC ini mempunyai ketumpatan komponen 18 peratus lebih tinggi berbanding dengan cip pemprosesan 7nm, dan mempunyai tahap penggunaan kuasa lapan peratus lebih rendah.
Dari segi komposisi komponen, CPU Unisoc T7520 ini hadir dengan lapan teras fizikal yang terdiri daripada empat teras Cortex-A76 dan empat teras Cortex-A55. Cip pemprosesan grafik yang dimuatkan kedalam SoC ini pula ialah Mali-G57 yang bukan sahaja mampu menyokong paparan skrin beresolusi 4K, tetapi juga kadar segar semula 120Hz.
Satu ciri unik pada SoC Unisoc T7520 ini pastinya modem 5G yang terkandung didalamnya. Secara lazimnya, sebuah modem boleh menyokong satu atau dua teknologi penghantaran data, terutamanya untuk 5G.
Tetapi dengan modem yang terbina didalamnya, SoC ini mampu menyokong sambungan 5G melalui kaedah sub-6GHz dan mmWave didalam mod SA (Stand Alone) dan juga NSA (Non Stand Alone). Kadar muat-naik yang dicatatkan oleh modem ini dilaporkan sekitar 3.25Gb/s.
Unisoc T7520 ini juga menyokong teknologi kamera dengan sensor sebesar 100MP dan boleh digunakan untuk peranti-peranti yang inginkan sokongan HDR 10+.
Dibangunkan oleh Taiwan Semiconductor Company (TSMC), cip pemprosesan Unisoc T7520 ini dikatakan akan dibina secara besar-besaran sekitar tahun ini, jadi kita mungkin berpeluang untuk melihat cip pemprosesan ini didalam sebuah peranti tidak lama lagi.