Oppo Watch Turut Dilancarkan – Wear OS, 1.91-Inci Skrin Melengkung, Snapdragon Wear 2500, ECG

Oppo Watch Turut Dilancarkan – Wear OS, 1.91-Inci Skrin Melengkung, Snapdragon Wear 2500, ECG

Diterbitkan pada Mac 6, 2020 oleh .

Hari ini, Oppo telah pun melancarkan peranti mercu mereka – Find X2 dan Find X2 Pro. Ia adalah peranti mercu paling hebat yang pasti akan menewaskan siri Samsung Galaxy S20. Bersama-sama dengan siri Find X2, Oppo turut melancarkan jam tangan pintar mereka yang tersendiri. Ini adalah jam tangan pintar pertama Oppo yang sebenar dan bukannya penjejak kesihatan seperti O-Band.

Jam tangan pintar mereka ini diberi nama Oppo Watch. Dari segi rekaan, ia jelas kelihatan seperti klon Apple Watch. Namun, Oppo masih menggunakan rekaan tersendiri – seperti tidak menggunakan pemutar digital. Sebaliknya menggunakan dua butang fizikal yang berada di tepi. Butang ini mempunyai fungsi berlainan. Butang pertama adalah untuk menyeru pembantu maya, manakala butang kedua boleh diubah untuk akses pantas aplikasi kegemaran.

Skrin yang digunakan adalah 1.91-inci melengkung. Skrinnya juga menyokong gamut warna 100% DCI-P3 dan mempunyai 326 ppi. Oppo Watch turut menjalankan sistem operasi Wear OS dengan tema tersendiri, seperti Xiaomi dengan MIUI for Watch. Bukan itu sahaja, jam tangan pintar Oppo ini turut menyokong eSIM untuk penggunaan data dan panggilan telefon. Seperti Apple Watch, jam tangan Oppo Watch ini turut mempunyai sokongan elektrokardiogram – ataupun ECG. Untuk perlindungan, jam ini mempunyai sokongan 5ATM.

Sudah tentu, ini adalah jam tangan pintar – jadi ia turut menyokong NFC untuk pembayaran nirtunai. Akhir sekali, ia turut mempunyai fungsi-fungsi memantau kesihatan – agar sesuai digunakan untuk bersukan. Oppo Watch turut menyokong pengecasan pantas VOOC dengan 15 minit cas 46% dan 75 minit cas penuh.

Harga jualan adalah 1,999 Yuan, iaitu sekitar RM1200. Ia agak mahal untuk jam tangan pintar dengan cip yang sudah lapuk. Ada kemungkinan ia adalah terhad untuk pasaran China sahaja.


TIPS & ULASAN