Imej Pengolokan Motorola Edge+ Tertiris – Skrin “Waterfall” & Tri-Kamera

Imej Pengolokan Motorola Edge+ Tertiris – Skrin “Waterfall” & Tri-Kamera

Diterbitkan pada Mac 6, 2020 oleh .

Bulan lepas, kami telah melaporkan berita mengenai peranti misteri Motorola yang tertiris. Peranti ini berkemungkinan besar adalah peranti mercu dengan nama Motorola Edge+. Peranti ini dilihat menggunakan skrin melengkung yang agak dahsyat, selari dengan peranti mercu seperti Vivo NEX 3 atau Huawei Mate 30 Pro.

Terkini, imej pengolokan penuh peranti ini telah tertiris. Skrin peranti ini mempunyai lubang untuk kamera swafoto pada atas hujung kiri. Kemudian ia menggunakan rekaan melengkung waterfall yang lengkungannya sangat dalam. Pada bahagian belakang, sistem tri-kamera kelihatan dengan posisi modul yang agak pelik. Logo Motorola di belakang adalah rata dengan lingkaran lampu LED yang berkemungkinan untuk notifikasi. Pada bahagian bawah pula, port USB-C dengan kekisi pembesar suara turut kelihatan bersama-sama dengan port bicu audio 3.5mm pada bahagian atas. Pengimbas cap jari dilaporkan adalah jenis bawah skrin.

Menariknya, peranti ini masih mempunyai butang fizikal untuk kawalan aras suara. Motorola Edge+ ini dikatakan dijana dengan Snapdragon 865, dipadankan dengan memori 8GB atau 12GB RAM dan skrin 6.67-inch FHD+, 2340×1080 melengkung dwi-sisi dan mempunyai sokongan kadar segar semula 90Hz. Ia akan mempunyai bateri sebesar 5169mAh.



TIPS & ULASAN