Cari @ Amanz

Pada tahun 2020 ini, pelbagai syarikat yang telah mula melihat semula kepada sasaran tahunan mereka disebabkan perubahan ekonomi, selain pelbagai cabaran termasuk dari segi kesihatan. Terbaru, menurut laporan The Information, Huawei dilaporkan menyasarkan penurunan dari segi jualan telefon pintar pada tahun 2020 ini.

Huawei dikatakan menyasarkan penurunan sekitar 20% pada tahun ini. Salah satu sebabnya adalah disebabkan oleh halangan perdagangan yang dilakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat – sekaligus membuatkan kerjasama mereka dengan Google terjejas. Selain daripada itu, kesan daripada penularan wabak Covid-19 juga dijangka memberikan impak terhadap pengeluaran dan pemasaran peranti Huawei.

Pada tahun 2019 yang lepas, Huawei telah menjual hampir 240 juta peranti, dan untuk tahun 2020 ini, kini ia dilaporkan Huawei menyasarkan jualan sekitar 200 juta unit peranti sahaja.

Buat masa ini, peranti Huawei masih dijual dengan meluas, termasuk di Malaysia sendiri beberapa model baru telah pun dilancarkan. Mereka sendiri bakal memperkenalkan Huawei P40 pada 26 Mac 2020 akan datang ini. Apa pun, peralihan daripada Google Play ke Huawei AppGallery mungkin masih pada peringkat awal, dan ia mungkin memberikan sedikit impak terhadap jualan peranti mereka sebelum semuanya beransur pulih secara berperingkat dalam bulan-bulan akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd