Hanya beberapa tahun yang lalu ramai memandang aneh apabila Xiaomi mula menjual televisyen pintar Android. Pasaran televisyen pintar yang masih kecil pada waktu tersebut kini sudah berkembang pesat sehingga adalah aneh untuk tidak memilikinya pada tahun 2020. Oppo akan menjadi sebuah lagi pengeluar telefon pintar yang akan turut melancarkan televisyen pintar mereka pula tahun ini.
Menurut timbalan presiden Oppo Liu Bo, syarikat beliau akan mula memasarkan televisyen pintar pertama pada separuh tahun kedua 2020. Ia akan dilancarkan serentak dengan pelbagai peranti berhubung di bawah jenama Oppo. Trend semasa ialah pengeluar telefon pintar turut menghasilkan produk peranti berhubung yang menyokong ekosistem tersendiri.
Dengan pengesahan Oppo ini, mereka akan menuruti jejak Samsung, Xiaomi. OnePlus, Huawei, Honor dan Nokia yang melancarkan televisyen/skrin pintar. Ini sebenarnya telah dijangka kerana OnePlus dan Realme, dua syarikat bersaudara mereka di bawah payung BBK Electronics telahpun atau akan melancarkan televisyen pintar mereka tahun ini.