Minggu lepas, peranti yang dikatakan Pixel 4a telah tertiris. Ia memperlihatkan penggunaan skrin berlubang dan skrinnya seakan melengkung sedikit. Kemudian panel belakang kelihatan mengekalkan pengimbas cap jari lapuk dan modul kamera segi empat.
Terkini, imej peranti ini tertiris lagi. Yang pertama, peranti ini dilihat dilindungi dengan kerangka pelindung rasmi Google dengan kemasan fabrik. Jelas kelihatan yang peranti ini menggunakan rekaan yang lebih moden pada bahagian hadapan. Ia kelihatan sekata dengan rekaan nirbingkai, skrin berlubang – tetapi dagu sedikit masih tebal. Walau bagaimanapun, secara keseluruhan ia kelihatan moden dan menarik.
Imej seterusnya adalah peranti Pixel 4a yang memperlihatkan panel belakang. Ia tidak menggunakan logo Google, kerana ini jelas sekali adalah logo prototaip untuk peranti Google yang biasa kita lihat sebelum ini. Pengimbas cap jari kelihatan rata dengan panel belakang. Paling mengecewakan adalah modul kamera segi empat yang membazir ruang. Sudahlah satu lensa sahaja dengan lampu LED flash, tetapi dimuatkan dalam modul kamera besar. Panel belakang ini juga kelihatan sedikit mirip dengan Mi A1.
Dengan acara Google I/O dibatalkan, tidak pasti bila Google akan melancarkan peranti ini. Apa-apa pun, harapnya ia mempunyai spesifikasi yang hebat dan harga jualan yang menarik. Sama-sama kita nantikan.