Cari @ Amanz

Kebanyakan peranti-peranti pintar yang digunakan di seluruh dunia menggunakan sistem operasi Android untuk menggerakkannya. Google juga hadir dengan kemaskini untuk memastikan bahawa sistem operasi yang digunakan mereka selamat untuk digunakan.

Walaupun begitu, sebuah laporan daripada TheBestVPN menunjukkan bahawa sistem operasi tersebut merupakan perisian yang mempunyai paling banyak jumlah kerentanan pada tahun 2019 dengan 414 isu sekuriti.

Masalah kerentanan sistem operasi Android bukanlah sesuatu yang baru. Walaupun Google sentiasa mengemaskini sistem operasi mereka, kerentanan yang hadir biasanya hadir akibat syarikat-syarikat yang mengubahsuai sistem operasi tersebut tanpa saranan oleh Google untuk memastikan ianya selamat digunakan oleh orang ramai.

Kerentanan-kerentanan ini tiba melalui aplikasi gendut yang dipasang terus dan tidak boleh dipadamkan, dan juga melalui perisian firmware oleh pihak pembuat cip pemprosesan, khususnya MediaTek, dimana berjuta-juta peranti yang dikuasakan mereka menghadapi kerentanan sekuriti yang serius.

Walaupun sistem operasi Android secara asasnya tidak hadir dengan kerentanan-kerentanan ini, keterbukaannya untuk diubahsuai menyebabkan syarikat-syarikat pembuat komponen dan peranti ini untuk membuka ruang untuk isu-isu ini menular.

Google secara teknikalnya tidak bersalah kerana isu-isu sekuriti ini, tetapi pengguna harus berhati-hati dan memilih peranti yang menerima kemaskini sekuriti terkini dengan kadar yang pantas kerana isu kerentanan ini boleh datang pada bila-bila masa sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd