Carian
Redmi Berjaya Meletakkan Pengimbas Cap Jari Bawah Skrin Pada Panel LCD
March 9, 2020 Fahim Zahar

Sensor pengimbas cap jari bawah skrin terdapat dua jenis, optikal dan ultrasonik. Optikal adalah antara yang terpantas, kerana ia seakan sensor kamera dan memerlukan cahaya yang terang bagi pengimbas cap jari ini berfungsi. Walau bagaimanapun, kedua-dua sensor ini hanya boleh diletakkan di bawah panel OLED sahaja kerana mempunyai lapisan yang lebih nipis dan memudahkan cahaya menembusi panel – berbanding dengan panel LCD yang lebih tebal.

Terkini, Naib Presiden Xiaomi/Redmi Lu Weibing telah mengeluarkan kenyataan yang Redmi telah berjaya meletakkan pengimbas cap jari bawah skrin pada panel LCD. Redmi berjaya meletakkan sensor ini di bawah skrin LCD kerana menggunakan teknologi filem inframerah dengan pancaran yang tinggi. Secara tidak langsung membenarkan penelapan cahaya menembusi panel LCD.

Goodix pada bulan Januari lalu telah mengesahkan yang mereka juga berjaya melakukan perkara yang sama dan akan mula menghasilkannya secara pukal untuk diedarkan kepada pengeluar peranti. Jadi, tidak pasti sama ada Redmi menggunakan teknologi dari Goodix atau BOE (turut berjaya).

Dengan kejayaan ini, ia akan membenarkan peranti kelas pertengahan atau mungkin juga permulaan mempunyai ciri atau fungsi yang lebih futuristik atau moden. Secara tidak langsung, mereka yang mempunyai bajet yang rendah boleh memiliki peranti sebegini. Model Redmi mana yang menyokongnya masih tidak diketahui, apa-apa pun sama-sama kita nantikan.

Komen