Wabak Covid-19 yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 telah meragut lebih 3000 nyawa di seluruh dunia. Pada waktu ini gelombang kedua penyebaran virus sedang dialami dunia sehingga menyebabkan pembatalan liga Serie A di Itali dan Google I/O di Amerika Syarikat. Sejak wabak mendapat perhatian dunia, saintis telah melakukan pelbagai kajian bagi memahami virus yang berbahaya ini.
Terkini saintis dari Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health telah berjaya mengesahkan tempoh pengeraman (incubation) dan simptom mula ditemui pada pesakit.
Tempoh median pengeraman virus SARS-CoV-2 ialah 5.1 hari dengan tempoh simptom akan mula dilihat pula ialah 11.5 hari. Penemuan mereka ini memperkukuhkan lagi sebab mengapa individu yang terdedah kepada pesakit Covid-19 perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari.
Keputusan kajian adalah berdasarkan kajian 181 kes positif Covid-19. Pada waktu yang sama mereka turut meramalkan untuk setiap 10,000 kes positif terdapat kebarangkalian 101 pesakit akan hanya menunjukkan simptom selepas 14 hari. Kajian telah diterbitkan di dalam jurnal Annals of Internal Medicine.