Baru-baru ini, Xiaomi dengan sengaja memperlihatkan Mi 10 dengan panel belakang lutsinar. Sumber melaporkan yang Xiaomi terus tukar panel belakang dengan kaca lutsinar sahaja. Jadi, ia memperlihatkan komponen sebenar dan tidak seperti Mi 8/Mi 9 Explorer Edition yang menggunakan komponen-komponen palsu. Panel ini turut mempunyai tulisan Xiaomi yang besar yang selari dengan kerangka rasmi mereka. Panel lutsinar ini memperlihatkan kamera, bateri, lingkaran pengecas nirwayar, sistem penyejukan dan secara keseluruhan kelihatan kemas.
Ia lebih mirip dengan gaya Zack dari JerryRigEverything yang membuat lapisan cat pada panel kaca.
Ramai peminat Xiaomi di China menginginkan Xiaomi melancarkan panel sebegini agar mereka boleh beli bagi menggantikan panel belakang Mi 10 sedia ada. Mereka turut menginginkan Xiaomi sediakan perkhidmatan pelanggan untuk pemasangan. Namun, ini mungkin tidak akan berlaku.