Carian
Spesifikasi Powerbeats4 Tertiris – Rekaan Lebih Ringkas, Bateri 15 Jam & Cip Apple H1
March 10, 2020 Fahim Zahar

Powerbeats3 adalah set fon telinga nirwayar dari jenama Beats yang dijual oleh Apple. Ia hadir dengan cip Apple W1 untuk tambatan pantas dengan peranti-peranti Apple, memfokuskan penggunaan aktif seperti bersukan dan juga menggunakan rekaan neckband. Ia dilancarkan pada tahun 2016, iaitu tahun pelancaran iPhone 7 dan juga AirPods pertama.

Terkini, selepas empat tahun – Powerbeats4 akan dilancarkan sebagai pengganti kepada Powerbeats3. WinFuture baru-baru ini telah memperlihatkan spesifikasi aksesori audio ini. Ia akan menggunakan rekaan yang lebih ringkas, lebih selesa di telinga dan mempunyai ketahanan bateri sehingga 15 jam. Ia akan menyertakan cip Apple baharu, Apple H1 yang menyokong Siri. Pada logo Beats ia berfungsi sebagai butang main, jeda, kawalan gestur seakan AirPods lama dan turut berfungsi sebagai butang menyeru Siri.

Tidak pasti sama ada Powerbeats4 akan menggunakan port USB-C atau lightning untuk pengecasan. Kemudian ia akan ditawarkan dalam warna hitam, putih dan merah. Tidak pasti bila ia akan dilancarkan. Dengan isu wabak koronavirus, ia mungkin akan ditangguhkan atau Apple mungkin akan terus menjualnya sahaja.

Komen