Pandang Pertama Black Shark 3 & 3 Pro -Telefon Gaming Termasyhur

Pandang Pertama Black Shark 3 & 3 Pro -Telefon Gaming Termasyhur

Diterbitkan pada Mac 13, 2020 oleh .

Black Shark adalah syarikat yang disokong oleh Xiaomi. Black Shark memfokuskan telefon pintar gaming bagi bersaing dengan pesaing seperti Razer Phone, ROG Phone atau juga Red Magic. Black Shark juga sudah hadir dengan pelbagai peranti dan yang terkini adalah siri Black Shark 3 dan Black Shark 3 Pro. Dari jauh rekaan kelihatan lebih kurang sama sahaja. Tetapi sebenarnya, ia amat berbeza dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Lebih-lebih lagi pada Black Shark 3 Pro.

Kami di Amanz, berpeluang menguji peranti ini sedikit lebih awal. Dalam tempoh penggunaan yang ringkas, kami agak terkejut dengan kehebatan pada peranti ini. Tidak kira dari skrin, pembesar suara, RGB atau juga aksesori. Dalam artikel ini akan kami gabungkan kedua-dua pendapat, Black Shark 3 dan Black Shark 3 Pro. Kami akan fokuskan kepada 3 Pro dan beritahu anda perbezaan pengalaman penggunaan dengan 3.

Spesifikasi

Black Shark 3 Black Shark 3 Pro
6.67″ FHD+ AMOLED, 90Hz, HDR10+, 270Hz Touch Sensing 6.71″ 2K AMOLED, 90Hz, HDR10+, 270Hz Touch Sensing
Snapdragon 865
1 x 2.84 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 865
1 x 2.84 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Adreno 650 Adreno 650
8/12 Gigabyte 8/12 Gigabyte
128/256 Gigabyte UFS 3.0 128/256 Gigabyte UFS 3.0
Kamera Utama 64+13+5 Megapixel (f/1.8+f/2.3+f/2.2) Kamera Utama 64+13+5 Megapixel (f/1.8+f/2.3+f/2.2)
Kamera Hadapan 20-Megapixel f/2.2 Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.0
Tiada Tiada
4720mAh (Berwayar 65W)/Magnetik 18W) 5000mAh (Berwayar 65W)/Magnetik 18W)
RM 3699 RM 2799

Pengalaman Penggunaan

Kedua-dua peranti secara keseluruhan, spesifikasinya adalah sama sahaja. Kamera sama, pengecasan pantas sama, cip pemprosesan sama dan juga rekaan yang sama. Beza hanyalah pada saiz skrin, kapasiti bateri dan butang. Black Shark 3 dan 3 Pro menggunakan skrin 6.67″ FHD+ dan 7.1″ 2K. Setiap skrin turut menyokong kadar segar semula 90Hz, mengesan sentuhan pada kadar 270Hz, pengiktirafan HDR10+ dan menggunakan rekaan nirbingkai yang bezel kelihatan sekata. Skrin 90hz sudah tentu memberi pengalaman sentuhan, tatalan yang memuaskan, lancar dan pantas. Kualiti skrin juga tidak dinafikan cantik dan terang.

Pembesar suara masih kekal, iaitu stereo yang menghadap ke hadapan. Jadi ia tidak akan mengganggu pengalaman ketika bermain permua. Kualiti audio juga lebih lantang dan kuat. Bass tidak terlebih dan enak didengari. Jika anda tidak berpuas hati dengan pembesar suara peranti ini, Black Shark masih menyertakan port bicu audio 3.5mm untuk pengalaman pendengaran cara tradisional. Tetapi, Black Shark turut hadir dengan aksesori audio tersendiri – Black Shark Ophidian yang menjanjikan 0 saat masa pendam.

Kedua-dua peranti ini dijana dengan cip Snapdragon 865 dan mempunyai pilihan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman UFS 3.0 256GB. Prestasi tidak dinafikan adalah baik, tiada lengah masa dan peranti tidak akan memanas. Ini kerana, ia mempunyai sistem penyejukan terbina.

Duka citanya, kami tidak dapat menguji tanda aras dan permua dengan baik. Unit ujian kami menjalankan sistem operasi JoyUI Android 10 yang masih dalam pembangunan. Malah, peranti ini juga adalah variasi untuk pasaran China dan bukannya tempatan. Dalam ujian tanda aras Oppo Find X2 Pro, iaitu peranti pertama di Malaysia dengan Snapdragon 865 – skor tanda aras mencecah lebih 580K. Jadi, mustahil skor untuk siri Black Shark 3 lebih rendah. Ia pasti akan berada di sekitar skor yang sama atau lebih tinggi seperti Nubia Red Magic 5G yang mempunyai skor tanda aras menghampiri 640k.

Untuk kamera. Anda perlu tahu yang semua pengeluar yang menghasilkan peranti gaming tidak memfokuskan kepada kemampuan kamera. Mereka cuba menyertakan teknologi kamera yang terkini, tetapi cip pemprosesan, kehebatan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin – pergi ke prestasi peranti. Jadi, pasca-proses imej pada peranti gaming kurang hebat dan hasil gambar tidak dapat bersaing dengan peranti mercu lain yang mempunyai spesifikasi kamera yang lebih kurang sama. Kami dapat menguji dalam masa yang singkat, untuk kamera ia masih mempunyai banyak pepijat dan masalah fokus. Imej 64MP juga tidak begitu tajam dan pasca-proses adalah begitu pantas. Ia seakan tiada langsung pasca-proses.

Spesifikasi kamera yang digunakan adalah 64MP lensa utama + 13MP lensa sudut ultra lebar + 5MP sensor kedalaman (f/1.8+f/2.3+f/2.2). Kamera swafoto pula adalah 20MP sahaja. Hasil gambar malang sekali, tidak dapat kami kongsikan kerana tidak cukup masa untuk pindahkan hasil imej dari Black Shark 3 ke peranti lain, ataupun pemacu USB. Tetapi, nantikan sahaja ulasan kami nanti.

Nilai-Nilai Gaming BS3/BS3 Pro

Black Shark 3 dan Black Shark 3 Pro jika dilihat dari jauh kelihatan sama sahaja dengan peranti gaming Black Shark yang lama. Tetapi ada sedikit pembaharuan rekaan bagi membezakan antara yang lama dan yang baharu. Paling berinovatif adalah Black Shark 3 Pro yang akan saya ceritakan kemudian.

BS3/BS3 Pro mempunyai dua bonjol seakan berlian pada bahagian belakang. Satu di bahagian atas dan satu di bahagian bawah. Kedua-dua bahagian ini ada lampu LED untuk RGB. Tidak kira notifikasi atau sekadar hiasan yang diselarikan bersama-sama dengan logo Black Shark. Bonjol di bahagian atas adalah lokasi kamera dan LED flash. Bonjol di bahagian bawah adalah port magnetik untuk pengecasan pantas 18W. Pengecasan magnetik ini adalah untuk pengalaman pengecasan peranti seakan Apple Macbook, Magsafe. Jadi, jika kabel tertarik atau tersandung peranti tidak akan tercampak.

Perkara paling menyerlah pada peranti ini adalah butang taktil fizikal. Ia menggunakan sistem pop-naik seperti kamera pop-naik. Kemudian butang ini sangat kukuh jika ditekan dengan kuat ia tidak akan masuk ke dalam. Rasa butang ini apabila ditekan juga amat sedap dan memuaskan. Dengan adanya butang ini, ia akan “membunuh” butang air trigger yang pasti akan ada masa pendam kerana bukan butang fizikal. Pengalaman menekan juga tidak akan memuaskan berbanding dengan butang fiizikal. Tidak lupa juga yang, butang ini hanya akan naik dengan sendiri apabila permua dibuka dan akan tersimpan kembali apabila permua ditutup. Duka cita dimaklumkan yang, butang ini hanya terdapat pada variasi Pro sahaja.

Rekaan

Sudah tentu, rekaan ranggi adalah wajib pada sebuah peranti gaming. Ia kelihatan ganas, garang dan bersegi. Black Shark 3 dan Black Shark 3 Pro. Kedua-duanya walaupun saiz skrin berbeza. Di tangan terasa sama sahaja. Tidak begitu banyak beza antara kedua-dua peranti ini. Di tangan tiada masalah untuk menguruskan peranti ini. Ia ibarat menggunakan Samsung Galaxy S20+ dan Galaxy S20 Ultra sahaja.

Rekaan hadapan adalah dengan bezel lebih nipis dan memuaskan jika ingin bermain permua atau menonton video. Kamera swafoto masih kekal pada bahagian dahi, tetapi tidak begitu tebal dan lebih sekata dengan dahi dan dagu. Sisi kanan adalah butang kuasa dan butang Shark Space. Kecuali pada variasi Pro ada butang taktil tadi. Sisi kiri adalah butang aras suara dan slot kad SIM. Bahagian bawah adalah port USB-C dan mikrofon. Di atas pula adalah port bicu audio.

Panel belakang seperti tadi, modul rekaan seakan berlian, logo Black Shark dan port magnetik. Logo Black Shark mempunyai lampu RGB. Lampu RGB juga boleh dikawal dalam tetapan peranti mengikut citarasa pengguna. Sebelum saya lupa, port USB-C menyokong pengecasan pantas yang sama dengan Xiaomi Mi 10, iaitu 65W.

Konklusi

Black Shark 3 Pro jelas di sini adalah peranti gaming yang akan ramai orang ambil perhatian atau beri fokus. Ia adalah peranti paling berinovatif setakat ini. Siapa sangka, syarikat kecil yang masih disokong oleh syarikat lain ini mampu hadir dengan inovasi sebenar. Tidak seperti jenama besar lain yang hanya Ctrl+C & Ctrl+V, dan bangga menggelar mereka hadir dengan inovasi baharu.

Black Shark 3 dan Black Shark 3 Pro dianggarkan akan dilancarkan di Malaysia pada sekitar bulan April nanti. Harga masih tidak pasti tetapi wakil Black Shark Malaysia menyatakan salah satu unit mungkin akan mencecah lebih RM3k. Saya anggarkan itu adalah variasi Pro. Ini kerana di China, Black Shark 3 biasa model asas harganya adalah sekitar RM2114 sahaja. Apa-apa pun sama-sama kita nantikan.


TIPS & ULASAN