Carian
Eric Horvitz Dilantik Sebagai Ketua Pegawai Saintifik Pertama Microsoft
March 12, 2020 Nazrin

Microsoft dikenali diserata dunia sebagai sebuah syarikat teknologi yang membina sistem operasi, perisian dan juga peranti-peranti untuk komputer. Mereka juga telah memasuki bidang sains dan teknologi yang lain seperti kecerdasan buatan dan sebagainya.

Syarikat tersebut baru-baru ini dilaporkan telah melantik Eric Horvitz sebagai Ketua Pegawai Saintifik yang pertama mereka. Beliau menyertai Microsoft pada tahun 1993 sebagai seorang penyelidik, dan mengetuai jawatankuasa Artificial Intelligence and Ethics in Engineering and Research (AETHER).

Sebagai Ketua Pegawai Saintifik di Microsoft, Eric Horvitz bertanggungjawab untuk mengetuai penyelidikan pelbagai bidang sains seperti biologi, teknologi maklumat perubatan, kelestarian teknologi, sains sosial dan sebagainya.

Selain dari itu, beliau juga akan menasihati pengurusan tertinggi syarikat mengenai perkembangan terbaru didalam arena sains dan teknologi, dan akan membantu Microsoft untuk mengekalkan kedudukan mereka sebagai salah satu daripada syarikat teknologi yang termasyhur.

Pelantikan seorang ketua saintifik oleh Microsoft boleh dikatakan satu langkah yang cukup menarik. Dunia teknologi kini sedang diambang sebuah anjakan paradigma dari segi teknologi dan rekaan peranti, dan dengan seorang saintis yang mempunyai pengalaman saintifik yang mendalam, Microsoft dijangka akan hadir dengan peranti-peranti yang jauh lebih menarik di masa akan datang.

Komen