Pada tahun lepas, Sennheiser memperkenalkan fon telinga TWS (True Wireless Sound) mereka yang pertama, iaitu Sennheiser Momentum True Wireless yang hadir dengan sistem hingar bunyi pasif dan juga rekaan yang padat.
Generasi kedua fon telinga ini yang dinamakan Sennheiser Momentum True Wireless 2 akan hadir dengan sejumlah kemaskini dan ciri-ciri baru yang membuatkannya pilihan yang lebih menarik.
Sekilas pandang, rekaan Momentum True Wireless 2 boleh dikatakan mirip model sebelum ini, tetapi menurut Sennheiser, rekaan earbud adalam 2mm lebih kecil, manakala jangka-hayat bateri digandakan dari 4 jam hingga ke 7 jam dengan model baru.
Bukan itu sahaja, pod pengecasan Momentum True Wireless 2 ini juga boleh mengecas fon telinga ini dengan penuh dari mati sebanyak tiga kali, memberikannya jangka-hayat 27 jam jika kedua-duanya dicas dengan penuh.
Satu ciri baru yang diperkenalkan pada model ini ialah ciri pembatalan hingar aktif, dan juga aplikasi Sound Control yang membenarkan anda mengaktifkan ciri-ciri tambahan seperti kawalan sesentuh, equalizer, Smart Pause dan lain-lain.
Sennheiser dijangka melancarkan fon telinga Momentum True Wireless 2 ini pada bulan April kelak pada tanda harga $299 untuk pasaran Amerika Syarikat. Buat masa ini Sennheiser masih tidak memberi kata putus tentang bilakah ia akan dilancarkan di sini.