Carian
Imej Pengolokan Huawei P40 Pro Dan P40 Dalam Pelbagai Warna Tertiris
March 16, 2020 Effi Saharudin

Majlis pelancaran Huawei P40 dan P40 Pro akan berlangsung secara atas talian pada 26 Mac hadapan. Dengan pelancarannya yang semakin hampir, pelbagai maklumat mengenainya mula tertiris ke arena web. Pagi ini @evleaks mendedahkan pula pilihan-pilihan warna dan rekaan sebenar untuk P40 serta P40 Pro menerusi ciapan beliau.

Perbezaan di antara P40 dan P40 Pro terletak pada sistem kamera. Pada P40 Pro terdapat lima lensa pada bonjol berbentuk empat segi tepat manakala pada P40 hanya terdapat tiga kamera. Turut dapat dilihat ialah lensa berbentuk empat segi untuk sistem mekanisme periskop.

Sebelum ini kami melaporkan P40 Pro akan dilengkapi sensor 52MP Sony IMX700 1/1.28″ RYYB digandingkan dengan lensa ultra-lebar 40MP Sony IMX608 1/1.5″ RGB, sistem zum teleskop sehingga 10X , kamera 3D ToF dan akhir sekali sebuah sensor yang mengesan suhu warna.

Sensor terakhir ini tidak pernah digunakan pada peranti mudah alih sebelum ini maka keberkesanannya dalam membaiki kualiti gambar masih misteri. Huawei sekali lagi cuba memperkenalkan fungsi baharu selepas mempopularkan sistem kuad-kamera dan penggunaan sensor monokrom.

Komen