Google: 69% Pengguna Di Luar Lembah Klang Mencari Telefon Pintar Memfokuskan Ketahanan Bateri

Google: 69% Pengguna Di Luar Lembah Klang Mencari Telefon Pintar Memfokuskan Ketahanan Bateri

Diterbitkan pada Mac 16, 2020 oleh .

Kemajuan teknologi dan pengurangan kos infrastruktur internet dapat membolehkan lebih ramai lagi rakyat menerima manfaat dan menambah baik kehidupan mereka. Google Malaysia pada hari ini telah berkongsi beberapa penemuan menarik untuk Malaysia dari segi hasil carian mereka.

Kenaikan Carian Terhadap Kata Kunci Khusus

Kebanyakan pengguna di Malaysia mencari sesuatu berdasarkan lokasi, dengan kenaikan sebanyak 2.3 kali ganda untuk kata kunci ‘Near me’ dan 1.2 kali ganda untuk kata kunci ‘terdekat’, Malah kata kunci ‘masjid terdekat’ telah bertambah sehingga 1.8 kali ganda.

Satu lagi perkara yang kerap dicari adalah berdasarkan faktor ‘terbaik / best’. Carian mengenai ‘telefon gaming terbaik’ dilihat menunjukkan peningkatan 2 kali ganda manakala 70% peningkatan untuk carian ‘laptop terbaik’ untuk pelajar, gaming dan juga penyuntingan video.

Peningkatan Carian Dari Pengguna Di Luar Lembah Klang

Kajian dari Google juga mengkategorikan pengguna kepada dua iaitu mereka yang tinggal di Lembah Klang (Metros) dan juga di luar Lembah Klang (Non-Metros). Pengguna di Lembah Klang mengutamakan fungsi, prestasi dan juga gaya keatas sesuatu pembelian, manakala pengguna di luar bandar mengutamakan faktor harga pemilikan dan juga kandungan yang berkaitan dan relevan terhadap mereka.

Justeru tidak hairanlah apabila mereka melakukan carian terhadap telefon pintar, 69% pengguna di luar Lembah Klang mencari telefon pintar yang mempunyai ketahanan bateri yang baik, berbanding 66% pengguna di Lembah Klang yang mengutamakan prestasi dan kelajuan peranti. Malah untuk barangan harian, 65% pengguna di luar Lembah Klang melakukan carian untuk barangan yang lebih mampu milik, manakala 73% pengguna di Lembah Klang mencari produk yang menyelesaikan masalah rambut.

Malah, pengguna di luar Lembah Klang dilihat memanfaatkan pembelian atas talian kerana terdapat pelbagai pilihan yang sukar diperoleh mereka berbanding pengguna di Lembah Klang yang boleh pergi ke pusat membeli-belah untuk mendapatkannya. Sebanyak 27% rakyat Malaysia di luar Lembah Klang membeli peranti dari kedai atas talian, berbanding 23% pengguna di Lembah Klang.

Peningkatan Kesedaran Kepenggunaan

Hasil kajian tidak terhad kepada carian di Google sahaja, malah meliputi produk dan perkhidmatan lain termasuklah YouTube. Untuk pengguna tempatan, 7 dari 10 saluran YouTube yang kerap ditonton adalah saluran Buatan Malaysia. Malah peningkatan sebanyak 50% untuk jumlah jam rancangan yang telah dimuatnaik pada YouTube.

Pengguna tempatan juga dilihat mula melakukan carian terhadap barang-barang yang lebih mesra alam seperti straw besi, kereta hibrid, plastik terbiodegrasi, dan bermacam lagi. Lebih dari itu, terdapat juga kenaikan pencarian pada ekonomi perkongsian melibatkan barangan terpakai seperti perabot, kereta, dan juga pinjaman baju perkahwinan.


Dengan kesemua trend-trend sebegini jelas menunjukkan bagaimana corak penggunaan rakyat Malaysia berubah sejajar dengan kemajuan teknologi, kebolehcapaian internet keseluruh negara dan juga pengetahuan keatas apa yang ditawarkan oleh internet itu sendiri yang melangkaui semua jenis sempadan.


TIPS & ULASAN