Carian
Rekaan Dan Spesifikasi Huawei Watch GT 2e Tertiris Sepenuhnya
March 17, 2020 Effi Saharudin

Selain peranti-peranti P40, Huawei dipercayai akan turut melancarkan jam tangan pintar terkini mereka pada 26 Mac hadapan. Nama, spesifikasi dan rekaan Huawei Watch GT 2e telah tertiris sepenuhnya menerusi laman WinFuture. Memandangkan laman ini mempunyai rekod yang amat baik dalam meniriskan produk Huawei sebelum ini, kesemua maklumat yang tertiris ini memang boleh dipercayai.

Huawei Watch GT 2e akan hadir dalam dua saiz iaitu 44mm dan 42mm. Skrin 1.39″ AMOLED berbentuk bulat dipadankan dengan pemproses HiSilicon Hi1132, memori sebesar 16MB RAM, storan sebesar 4GB dan bateri sebesar 455 mAh. Seperti model sebelum ini, GT 2e akan mempunyai ketahanan bateri sehingga dua minggu. Ini adalah spesifikasi yang sama dengan Watch GT 2.

Perbezaan dapat dilihat pada dua butang fizikal sisi yang kini berbentuk empat segi dan bukan lagi bulat. Rekaan sambungan tali jam juga telah dilakukan. Dari foto yang tertiris ia masih lagi diperbuat daripada bahan silikon dengan rekaan yang kerap dilihat pada tangan pintar mesra aktiviti sukan.

Pengimbas nadi optikal dengan port sambungan pengecas magnet juga kelihatan sama seperti Watch GT2 sebelum ini. Maklumat mengenai harga dan penawaran warna lain akan diketahui pada pelancarannya kelak.

Komen