Carian
Pandang Pertama Penyejuk Black Shark FunCooler Pro – Sejuk Sampai Berais!
March 17, 2020 Fahim Zahar

Setiap telefon pintar gaming mempunyai satu fokus sahaja, iaitu pengalaman bermain permua yang mengasyikkan. Untuk itu, penawaran pada pakej belian peranti haruslah bagus, rekaan peranti wajib ergonomik, skrin cantik, pembesar suara kuat dan lantang dan yang paling penting mempunyai sistem penyejukan. Semua perkara ini diimplementasikan dalam peranti-peranti gaming.

Bukan itu sahaja, setiap pengeluar peranti gaming pasti akan menawarkan pelbagai aksesori. Asus misalnya, menawarkan dermaga, skrin kedua, kipas penyejuk. Nubia pula ada kabel bentuk L, dermaga, kerangka dan pengecas pantas. Manakala Black Shark ada alat kawalan tersendiri seakan JoyCon dan turut mempunyai kipas penyejuk. Terkini untuk Black Shark 3, Black Shark telah hadir dengan dua jenis kipas penyejuk. Satu adalah kipas biasa yang dijenamakan semula dari kipas Xiaomi dan satu lagi adalah rekaan Black Shark tersendiri yang merupakan satu sistem penyejuk yang luar biasa.

Kenapa luar biasa? Ia sejuk sampai berair dan boleh berais jika dibiarkan begitu sahaja dalam tempoh yang lama. Nama penyejuk Black Shark ini adalah FunCooler Pro dan ini adalah artikel pandang pertama kami selepas menggunakannya untuk seketika.

Rekaan

Black Shark menggunakan rekaan Peltier Effect. Ia adalah apabila arus elektrik melepasi litar termogandingan pada satu sambungan dan diserap dari sambungan lain. Peltier Effect ini adalah apabila panas atau sejuk hadir pada sambungan yang dielektrikkan dari dua konduktor berbeza. Teori Peltier Effect ini adalah dari Jean Charles Athanase Peltier yang menyatakan jika ada arus elektrik mengalir dari dua konduktor, A dan B – haba boleh terhasil atau juga hilang. Teori yang sama ini turut digunakan pada kit refrigerasi untuk sistem penyejukan.

Kipas yang terbina dalam FunCooler Pro turut berpusing pada kadar 6,200 RPM, iaitu 2.5 kali lebih laju berbanding sebuah helikopter. Black Shark turut menyertakan 147 bilah penyejuk dan turut boleh boleh mengurangkan bunyi bising putaran kipas kepada 34db. Sudah tentu ini adalah aksesori gaming, jadi ia mempunyai sistem RGB daripada 12 LED. Black Shark turut menjadi mesra pengguna, dengan membolehkan pelbagai peranti Android lain atau iOS menggunakan aksesori mereka. Ini kerana ia mempunyai pendakap multi-saiz yang boleh dipasang pada mana-mana peranti bersaiz 67mm-88mm.

Untuk kuasa, FunCooler Pro perlu menggunakan kabel C-C atau A-C dengan kuasa minima 10W. Jadi ia boleh dipasang pada power bank, komputer riba atau terus ke palam elektrik. Namun, jika hanya ingin gunakan untuk penggunaan ringan – pengguna boleh sahaja menggunakan kabel C-C untuk disambungkan melalui telefon pintar itu sendiri.

Pada salah satu sisi penyejuk ini, terdapat butang kuasa dan port USB-C, sisi lagi satu adalah logo tulisan Black Shark. Di bahagian atas adalah logo Black Shark, di bahagian bawah pula adalah pad sejuk seakan besi dan di setiap sisi pendakap terdapat getah untuk melindungi peranti dari calar atau memberi cengkaman yang lebih. Keseluruhan penyejuk ini, menggunakan rekaan yang amat ranggi, garang, dan sangat gaming.

Pengalaman Penggunaan

Black Shark mendakwa yang penyejuk mereka ini boleh mula menurunkan suhu peranti dalam masa 1 saat sahaja. Dalam laman web rasmi mereka, ia memperlihatkan suhu peranti dari 28.5 darjah ke 24 darjah dalam masa yang singkat. Semasa bilah-bilah kipas berpusing, ia akan mengeluarkan bunyi yang sedikit bising, namun jika bermain permua sambil menggunakan set fon telinga atau menetapkan aras suara pembesar suara pada tahap yang tinggi – bunyi kipas ini tidak akan kedengaran.

FunCooler Pro ini mempunyai dua kelajuan kipas, iaitu sangat sejuk atau beku. Jika menggunakan mod beku, kipas yang berpusing akan membuat bunyi yang lebih bising berbanding mod sangat sejuk. Sepanjang penggunaan, kami hanya menggunakan mod beku kerana ia adalah yang paling sejuk dan menarik untuk digunakan. Sebelum kami menggunakan pada peranti, kami uji penyejuk ini tanpa dipasang pada mana-mana peranti. Ini kerana wakil Black Shark ada menyatakan yang penyejuk ini mampu mencecah suhu -13.9 darjah dan boleh mula berais. Sudah tentu, ujian yang Black Shark lakukan ini adalah ujian makmal dan suhu sekeliling adalah terkawal. Jadi ada kemungkinan besar, suhu makmal mereka memang sejuk dan ditambah pula dengan penyejuk ini – ia terus menghasilkan ais.

Dalam ujian kami, kami hanya lakukan di Makmal Amanz sahaja (pejabat kami). Ia adalah cuaca bilik biasa dan jika dibiarkan penyejuk ini hidup beberapa ini, ia sudah mula sejuk sangat seakan air tin di dalam peti sejuk beku. Kemudian, jika dibiarkan selama 10 minit air mula terhasil. Mungkin kerana suhu pejabat kami adalah suhu yang biasa, ia tidak boleh menjadi ais – tetapi kekal berair dan meleleh-leleh. Ini adalah proses yang dinamakan kondensasi.

Jika penyejuk ini dibiarkan begitu sahaja, ia memaparkan suhu dari 15 darjah sehingga 20 darjah. Ia terus jatuh ke 10 darjah dalam masa yang amat pantas. Kemudian ia terus turun sehingga pernah mencapai sehingga 5 darjah.

Memasang penyejuk ini pada peranti membuktikan dakwaan Black Shark. Bacaan suhu peranti melalui aplikasi CPU Monitor memaparkan suhu 27 darjah, selepas tiga minit ia turun ke 25 darjah dan dalam masa beberapa saat ia turun lagi ke 23 darjah. Pada suhu peranti 23 darjah, suhu FunCooler Pro adalah 13 darjah. Kemudian apabila suhu penyejuk ini mencecah 8 darjah, suhu peranti turun sehingga 14 darjah. Disebabkan peranti yang kami uji ini adalah Galaxy S20+ yang panel belakangnya diperbuat daripada kaca, peranti amar sukar untuk dipegang kerana terlampau sejuk seakan baru keluar dari peti sejuk beku.

Panel belakang peranti bukan sahaja sejuk, tetapi turut basah dengan air. Air ini yang terhasil dari proses kondensasi yang kami jelaskan dalam perenggan sebelum ini.

Penyejuk ini turut menyokong kawalan menggunakan Bluetooth untuk mengawal tahap kelajuan kipas, iaitu antara mod sangat sejuk atau beku tadi. Selain itu, RGB juga perlu dikawal menggunakan Bluetooth melalui aplikasi khas. Menariknya, untuk peranti Android lain atau iOS – Black Shark turut bangunkan aplikasi khusus. Cuma aplikasi ini masih lagi dalam ujian dan yang kami gunakan ini masih lagi dalam bahasa China. Aplikasi iOS juga masih tidak kelihatan. Untuk kuasa walau bagaimanapun, masih memerlukan tenaga luar.

Keselamatan

Disebabkan penyejuk ini menjadikan peranti berair dan basah, kami membuat keputusan yang ia sesuai digunakan pada peranti dengan kalis percikan atau perlindungan IP68. Ini kerana ia boleh membahayakan peranti. Bukan itu sahaja, kita tidak tahu jika proses kondensasi ini turut berlaku di dalam peranti atau hanya luaran peranti. Amat bahaya jika kesan air atau ais terhasil terus ke dalam papan induk peranti. Tetapi jika sudah ada air dari dalam peranti dan pasti akan terkena pada papan induk, itulah namanya penyejukan cecair (LOL, gurau sahaja).

Untuk kabel, ia tidak begitu bahaya. Ini kerana, port USB-C pada penyejuk ini berada di kawasan yang agak tinggi dan bergantung kepada cara pengguna memegang peranti – ia tidak akan mengalir mengikut kabel. Ia mungkin akan terus menitis ke lantai.

Konklusi

Adakah penyejuk ini sekadar gimik atau benar-benar membantu peranti? Pada kami, ia adalah benar-benar satu sistem penyejukan yang berfungsi dengan baik dan amat membantu peranti yang memanas menjadi sejuk. Jadi bagi yang gemar bermain permua sehingga tidak ingat dunia realiti, aksesori ini adalah aksesori wajib dan patut anda gunakan. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang gemar menggunakan peranti sambil dicas sambil bermain permua.

Di China, kipas ini dijual pada harga RMB 179 sahaja, iaitu sekitar RM110.48. Untuk pasaran Malaysia, jualan mungkin akan ditangguhkan atas isu wabak koronavirus.

Komen