Buat masa ini, mana-mana peranti dengan sokongan 5G harga jualannya adalah tinggi. Lihat sahaja Huawei Mate 30 Pro 5G yang dijual pada harga RM4,199 dan Samsung Galaxy S20 Ultra yang dijual pada harga RM4,999. Ia memang mahal ini kerana cip 5G adalah mahal. Malah untuk peranti Snapdragon 865, semua pengeluar wajib membeli sekali modem 5G dan harga pakej kedua-duanya sudah menjadi mahal. Alternatif lain adalah peranti kelas pertengahan seperti peranti yang dijana Snapdragon 765, itu pun masih malah dan paling kurang RM1000.
Terkini Naib presiden Vivo, Liu Hong – menyatakan yang 80% para pekerja Vivo sudah kembali bekerja dan mempunyai jumlah produk Vivo yang berjaya dihasilkan meningkat sehingga 90%. Vivo juga akan memfokuskan kepada 5G pada tahun ini dan sejak pertengahan bulan Mac sehingga hujung bulan ini, dianggarkan 100,000 unit peranti akan dihasilkan setiap hari. Bukan itu sahaja, beliau turut menganggarkan yang harga jualan peranti 5G boleh menurun sehingga 1,500 Yuan – iaitu sekitar RM933 sebuah pada suku keempat tahun ini.
Vivo kini sudah mempunyai tiga peranti 5G, iaitu Z6, iQOO 3 dan NEX 3s. Kutipan jualan Vivo juga meningkat sebanyak 10% berbanding tahun lepas. Permintaan peranti 5G dilihat amat banyak berbanding 4G. Pada suku keempat tahun 2019, Vivo adalah salah satu syarikat paling banyak menjual peranti 5G. Perkongsian pasaran Vivo adalah sebanyak 13.7%, secara tidak langsung menjadi kedua di bawah Huawei yang mempunyai pegangan sebanyak 20.2%.