Facebook Memadam Pos Mengenai COVID-19 Secara Silap Kerana Kerentanan Sistem Anti-Spam

Facebook Memadam Pos Mengenai COVID-19 Secara Silap Kerana Kerentanan Sistem Anti-Spam

Diterbitkan pada Mac 18, 2020 oleh .

Dalam usaha untuk membendung berita palsu mengenai wabak COVID-19 daripada tersebar, sistem anti-spam Facebook nampaknya bekerja terlalu keras sehingga mereka memadam semua pos-pos di Facebook mengenainya, tidak kira samada ia benar ataupun palsu.

Guy Rosen, Naib Presiden Integriti di Facebook berkata bahawa akibat wabak COVID-19 ini, ramai petugas-petugas kebenaran berita mereka tidak boleh memasuki pejabat, dan mereka tidak dibenarkan mengakses konsol pengawasan pos kerana sistem tersebut adalah sulit.

Oleh yang demikian, sistem kecerdasan buatan Facebook tidak diselia, dan ini menyebabkan banyak pos-pos mengenai wabak COVID-19 ditanda sebagai palsu dan dianggap sebagai spam.

Ironinya di sini, ramai dari mereka yang perasan bahawa pos mereka dipadamkan di Facebook telah menyatakan ketidakpuashatian mereka di laman sosial media Twitter.

Walaupun begitu, Rosen berkata lagi bahawa isu tersebut sudahpun dibendung, dan pos-pos yang sebelum ini dipadamkan sudah boleh dilihat oleh orang ramai semula.



TIPS & ULASAN