Cari @ Amanz

Sejak tahun lepas, banyak pengeluar peranti sudah mula bereksperimen dengan peranti yang skrinnya boleh dilipat. Kita ada Huawei Mate X, Samsung Galaxy Fold dan juga Royole Flexpai. Tahun ini pula semakin menjadi-jadi, dengan Z Flip dan Mate XS. Baru-baru ini, Royole mengumumkan untuk hadir dengan peranti skrin boleh lipat kedua mereka pula. TCL juga telah memperlihatkan demo peranti yang skrin boleh dilipat secara siku-sika dan skrin yang bergulung.

Xiaomi tidak ketinggalan dengan konsep peranti boleh lipat ini. Tahun lepas, mereka ada memperlihatkan peranti boleh lipat mereka. Tetapi ia tidak dikeluarkan dan terus menjadi Mi MIX Alpha yang seakan peranti skrin boleh lipat yang tidak boleh dibuka terus. Terkini, Xiaomi dilihat telah mempatenkan peranti dengan skrin boleh lipat yang lebih unik.

Peranti ini dilihat mempunyai skrin fleksibel di bahagian atas sahaja. Hanya bahagian atas sahaja yang boleh dilipat untuk menjadikan kamera swafoto dalam skrin berlubang digunakan sebagai kamera utama di belakang. Ya, peranti ini tidak mempunyai kamera utama di belakang – sebaliknya hanya ada kamera swafoto. Secara tidak langsung menjadikan ini adalah peranti yang memfokuskan swafoto sepenuhnya. Apabila bahagian atas skrin dilipat ke belakang, ia akan menjadi paparan notifikasi atau juga viewfinder untuk mengambil gambar. Jika peranti ini tidak dilipat, skrinnya akan menjadi skrin yang mempunyai nisbah yang panjang.

Berdasarkan paten, peranti ini dilihat mempunyai rekaan yang ringkas dan minimal. Tetapi seperti biasa, peranti ini hanya paten sahaja. Jadi tidak pasti jika ia akan menjadi realiti atau terkubur dalam arkib paten sahaja.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd