Ulasan Samsung Galaxy S20+ – Cukup Rasa Dan Padan Dengan Jiwa

Ulasan Samsung Galaxy S20+ – Cukup Rasa Dan Padan Dengan Jiwa

Diterbitkan pada Apr 9, 2020 oleh .

Samsung Galaxy S20+ adalah peranti mercu Samsung tahun ini yang dilancarkan bersama-sama dengan S20 dan S20 Ultra. Ia tiada kemampuan Space Zoom 100x, tiada bateri sebesar 5000mAh atau juga pengecasan pantas 45W. Tetapi, peranti ini agak padu seperti abangnya S20 Ultra yang ultra padu. Cuma, untuk siapa S20+ ini? Adakah ianya cukup baik untuk semua orang atau hanya segelintir sahaja?

Jujur saya katakan, saya bukan peminat peranti Samsung. Saya tidak benci akan jenama Samsung, saya gemar akan teknologi, fungsi dan ciri yang diperkenalkan. Namun perisiannya membuatkan saya kurang gemar menggunakannya. Saya adalah pengguna Galaxy S7, Galaxy Note 9, Galaxy S10 dan Galaxy Note 10+. Setiap kali saya menggunakan peranti Samsung, selepas satu minggu pasti akan ada masalah. Ia tidak cukup serasi dengan jiwa saya. Berbeza untuk siri Galaxy S20. Saya telah menggunakan S20 Ultra terlebih dahulu sebelum beralih kepada S20+. S20+ ini adalah peranti Samsung yang membuatkan saya jatuh cinta dan kini saya akan menggunakan peranti ini sebagai peranti harian saya.

Spesifikasi

Samsung Galaxy 20+
Skrin 6.7″ WQHD+
Dynamic AMOLED 2X, HDR10+, 120Hz
Pemproses Exynos 990, 7nm+
Cip 2.7 X 2 GHz Mongoose M5
2.5 X 2 GHz Cortex A76
2.0 X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G77 MP11
RAM 8 Gigabyte LPDDR5
Muatan Dalaman 128GB UFS 3.0
(mikro SD sehingga 1TB)
Kamera Utama 12+64+12+ 0.3 TOF Megapixel.
f/1.8+f/2.0+f/2.2+f/1.0, OIS, HDR
Kamera Depan 10 Megapixel f/2.2
Bateri 4500 mAh
(Pengecasan pantas + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan RM 3,999

Galaxy S20+ walaupun dari jauh kelihatan kecil, kurus dan biasa sahaja, ia sebenarnya memliki saiz skrin yang agak besar. Saiz skrin adalah 6.7-inci dari panel Dynamic AMOLED 2X, menyokong resolusi sehingga WQHD+, kadar segar semula 120Hz dan juga HDR10+. Ia juga tidak lagi menggunakan skrin melengkung seperti peranti-peranti lama. Sebaliknya adalah lebih rata dari biasa dan lebih dekat dengan Pixel 2 XL.

Samsung sudah lama membekalkan panel AMOLED dengan kadar segar semula kepada pengeluar peranti lain, tetapi mereka masih berdegil tidak ingin sertakan skrin ini pada peranti mereka. Kali ini, pengguna tidak perlu lagi bimbang kerana berbeza dengan peranti seperti OnePlus 7 Pro ke atas yang terhad dengan 90Hz – Samsung terus memberikan skrin 120Hz pada ketiga-tiga model S20 tahun ini. Pengguna diberikan pilihan untuk menggunakan 60Hz atau 120 Hz yang boleh diubah menerusi tetapan peranti.

Sedikit kecewa dengan pilihan Samsung ini. Ini kerana skrin kadar segar semula 120Hz hanya boleh dipadankan dengan FHD+ dan HD+ sahaja dan tidak boleh digunakan pada resolusi QHD+. Sedang, peranti OnePlus yang menggunakan panel dari Samsung boleh. Pilihan Samsung ini dikatakan adalah untuk menjamin kesihatan dan ketahanan bateri yang lebih baik.

Bezel peranti jelas lebih nipis dan memberikan pengalaman penggunaan yang lebih imersif. Ia sudah hampir dengan rekaan yang benar-benar nirbingkai. Perenggan sebelum ini ada kami sebutkan mengenai skrin S20+ yang kini lebih rata. Kini pengguna yang kerap merungut skrin melengkung mencacatkan pandangan ketika menonton video, rekaan baharu ini pastinya akan memuaskan hati anda.

Pengimbas cap jari ultrasonik terbina bawah skrin kekal digunakan. Ini membolehkan jari diimbas tidak kira basah atau kotor. Walaupun prestasi imabasan cap jari adalah lebih pantas, kami yakin yang ia adalah kerana cip pemprosesan dan perisian sahaja. Ini kerana, hanya satu cap jari boleh diimbas dan kawasan permukaan pengimbas yang masih kecil. Oleh sebab itu di Amanz, kami mempunyai teori Samsung masih belum menggunakan pengimbas cap jari ultrasonik generasi terbaru yang diperlihatkan oleh Qualcomm pada Disember tahun lalu.

Set yang dijual di Malaysia menggunakan cip pemprosesan Exynos 990 dengan binaan 7nm+ dan bukannya Snapdragon 865 yang ramai inginkan. Dengan penggunaan Exynos 990, pengguna Malaysia hanya boleh menikmati sokongan 5G pada variasi Ultra sahaja. Tidak seperti set luar yang mana, semua peranti Snapdragon 865 sudah tersedia dengan sokongan 5G.

Pemproses lapan teras ini dihasilkan menggunakan teknologi FinFET 7nm+ dengan konfigurasi 2+2+4 teras. Dua teras utama teras Mongoose M5 dengan kelajuan 2.7 GHz dipadankan dengan dua teras Cortex-A76 dengan kelajuan 2.5 GHz dan empat teras kuasa rendah Cortex-A55 dengan kelajuan 2.0 GHz. Cip grafik yang digunakan pula ialah Mali-G77 MP11.

Ini dipadankan dengan memori 8GB RAM LPDDR5 dan storan 128GB UFS 3.0 dan ini adalah satu-satunya variasi yang boleh didapati di Malaysia. Ini adalah pilihan yang agak mengecewakan kerana sebelum S10 dan Note 10 ditawarkan dengan saiz storan sehingga 512GB. Bagi yang merasakan storan yang diberikan masih tidak mencukupi, terdapat sokongan penambahan storan menggunakan kad mikro SD sehingga 1TB. Tetapi anda perlu mengeluarkan wang tambahan lagi.

Bercakap mengenai kamera pula, kuad-kamera utama menggabungkan sensor 12+64+12+0.3 TOF Megapixel. Sensor 12-Megapixel dipadankan dengan lensa f/1.8. Sensor 64-Megapixel f/2.0 dipadankan dengan lensa telefoto yang mampu membuat rakaman zum 3x hibrid optikal dan 30x Super Resolution Zoom. Akhir sekali satu lagi sensor 12-Megapixel f/2.2 dipadankan pula dengan lensa sudut ultra lebar.

Kamera hadapan pada S20 pula adalah sebesar 10-Megapixel f/2.2 yang diletakkan di dalam lubang kamera pada bahagian atas tengah.

Mengusai peranti ialah bateri sebesar 4500 mAh yang adalah 400 mAh lebih besar berbanding S10+. Kombinasi pemproses berkuasa tinggi dan skrin 120Hz memerlukan bateri yang sebesar ini. Sokongan pengecasan pantas berwayar sehingga 25W dan nirwayar disertakan.

Maka pemilik tidak perlu risau bateri yang besar ini memerlukan masa yang lama untuk dicas semula. Dengan PowerShare pula, S2o+ boleh mengecas peranti lain seperti Galaxy Buds+ secara nirwayar. Kesemua komponen ini tersimpan kemas di dalam tubuh peranti yang kalis air dengan piawaian IP68.

Rekabentuk

Siri Galaxy S20 membawakan beberapa pembaharuan dengan integrasi butang Bixby pada butang kuasa, sekaligus mengikut rekaan Note 10 dan Note 10+ yang tidak mempunyai butang khusus Bixby. Ia juga mempunyai bezel yang lebih nipis, dan ini sekaligus membuatkan paparan skrin yang lebih besar dapat diletakkan tanpa terlalu mempengaruhi pertambahan saiz peranti.

Satu lagi ura-ura yang dibuktikan benar adalah bahagian tepi skrin yang kini kurang melengkung. Ia tidak mempunyai lengkungan yang sama dengan siri S10, namun fungsi Edge Screen masih tersedia, dan aplikasi popular yang berfungsi pada tepi paparan skrin dapat diakses seperti biasa. Rekaan baharu ini menyelesaikan masalah kandungan video yang terpotong kerana dipaparkan pada sisi skrin.

Sokongan audio stereo diberikan menerusi pembesar suara pada bahagian bawah dan gagang telinga yang terletak di atas kamera swafoto. Dengan ini S20+ memberikan pengelaman audio yang baik lengkap dengan sokongan Dolby Atmos.

Kesemua butang diletakkan pada sebelah kanan peranti, dengan butang kawalan tahap bunyi dan juga butang kuasa di bawahnya. Pada hemat kami kedudukan butang kuasa dan suara pada sisi kanan adalah lebih mesra pengguna berbanding sisi kiri pada Note 10.

Pada siri S20 ini juga, tiada lagi bicu audio 3.5mm dan pengguna akan diberikan fon telinga yang menggunakan sambungan USB-C. Dengan ini secara rasminya Samsung tidak lagi menyertakan bicu audio pada kesemua peranti mercu mereka setelah melakukannya pada Note 10 tahun lalu. Ini tidak mengejutkan kerana ia adalah trend sejak tiga tahun yang lalu.

Penggunaan

Samsung Galaxy S20+ membawakan rekaan yang kelihatan biasa sahaja. Namun sebenarnya, peranti ini agak besar dan boleh lenguh apabila memegang dalam jangka masa yang panjang. Namun, bentuk yang sudah biasa dilihat dan berat yang biasa-biasa sahaja – penggunaan peranti ini mudah untuk disesuaikan dengan diri.

Bonjol kamera pada S20+ tidak sebesar S20 Ultra. Namun, ia masih menggunakan modul berbentuk segi empat. Menjadikan peranti ini kurang sedap memandang dari jauh adalah kerana, ia kelihatan sama sahaja dengan peranti kelas pertengahan seperti Samsung Galaxy A51/A71 atau juga S10 Lite. Ia tidak mempunyai rekaan yang membezakan peranti mercu dan peranti kelas pertengahan.

Syukur juga dengan rekaan seperti ini, jari tidak akan tersentuh pada modul kamera dan mengotorkan lensa-lensa. Cara pegang peranti juga tidak perlu diubah dan mudah sahaja untuk terus menggunakan kamera. Tidak seperti S20 Ultra yang besar gedabak, jari perlu diubah dan cara pegang perlu lebih baik agar peranti yang berat ini tidak jatuh.

Samsung memberikan sebuah kerangka lembut lutcahaya yang melegakan kerisauan jika peranti calar atau retak jika jatuh. Secara logiknya jika anda membelanjakan hampir RM4000 untuk sebuah telefon pintar, anda digalakkan membeli sebuah kerangka tahan lasak lain dan tidak bergantung dengan kerangka yang disediakan. Tanpa sebarang kerangka, bukan sahaja ada risiko tinggi untuk calar – tetapi turut akan penuh dengan kotoran cap jari yang kurang enak dilihat.

Antaramuka

 Sistem operasi Android 10 dengan pelancar Samsung One UI 2.1 digunakan pada  S20+. Tiada perubahan yang ketara dilakukan pada rekaan ikon dan elemen antaramuka. Samsung hanya menambah beberapa fungsi baharu seperti QuickShare seakan AirDrop dan juga rutin Bixby yang dipertingkatkan. Menerusi rutin ini peranti akan memberikan saranan kandungan pada aplikasi seperti Netflix dan Spotify.

Antaramuka One UI direka untuk memudahkan lagi penggunaan sebelah tangan tanpa perlu mengaktifkan mod sebelah tangan. Disebabkan saya pernah menggunakan peranti yang skrin besar dan panjang seperti ini, menggunakan satu tangan amat mudah. Tidak janggal dan menyusahkan.

Masih terdapat tiga butang navigasi atas skrin iaitu multi-tugas, home dan back. Susunan butang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Sistem gesture seakan Android 10 asli juga disertakan walaupun tanpa butang berbentuk pil pada bahagian bawah skrin. Secara default navigasi tiga butang ini diaktifkan.

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada Galaxy S20+.

Always On Display – Skrin memaparkan notifIkasi sepanjang masa tanpa menggunakan bateri yang tinggi.

Device Care – Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus dan juga penggunaan RAM.

Dex – Mod desktop apabila disambungkan kepada PC atau Mac.

Display – Mengubah resolusi ke HD+, FHD+ dan WQHD+. Kadar segar semula 60Hz atau 120Hz juga boleh dipilih. Kadar segar semula 120Hz tidak boleh digunakan pada resolusi WQHD+.

Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Edge Screen – Pintasan pantas kepada beberapa fungsi seperti lampu suluh, nombor kontak penting dan berita.

Game Launcher – Mod permua yang menghalang gangguan ketika sedang beRmain.

Kids Home – Mengubah antaramuka menjadi lebih mesra kanak-kanak dan mengehadkan akses kepada aplikasi. Had masa boleh ditetapkan dan menghalang laman web yang boleh dilayari.

Melancarkan kamera dengan pantas – Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Navigation – Mengubah sistem navigasi tri-butang atau berasaskan gesture boleh dipilih.

Night Mode – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau tatalan dari bawah ke atas skrin.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas semula secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar.

QuickShare – Sistem perkongsian pantas antara peranti Samsung seakan Apple AirDrop. Pada waktu ini hanya menyokong S20 dan Galaxy Fold sahaja.

Kamera

Empat kamera utama menggabungkan sensor 12+64+12+0.3 TOF Megapixel.(f/1.8+f/2.0+f/2.2+f/1.0). S20+ menyokong sistem zum hibrid 3X dan zum digital sehingga 30X. Pada bahagian hadapan pula sensor sebesar 10-Megapixel f/2.2 yang diletakkan di dalam lubang kamera. Dengan penggunaan sensor yang tidak sebesar S20 Ultra, ia masih mampu melakukan rakaman video 8K 24FPS pada kamera utama ataupun 4K 60FPS. Kamera hadapan turut mampu merakam video pada kadar tinggi 4K 60FPS. Sungguhpun begitu tempoh rakaman untuk video 8K 24FPS ini dihadkan ke 10 minit sahaja pada satu-satu masa.

Antaramuka aplikasi kamera S20+ tidak mengalami sebarang perubahan drastik. Kesemua elemen antaramuka dapat dilihat dengan jelas dan mudah difahami. Terdapat pelbagai mod tambahan seperti Panorama, Pro, Night dan Live Focus. Pengguna kemudian boleh mengkustomasi mod apakah yang ingin diletakkan pada pintasan pantas.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah pintasan mengambil gambar Single Take pula mengautomasikan proses menghasilkan klip pendek, gambar monokrom, video berulang yang sesuai untuk Boomerang, GIF beranimasi dan banyak lagi.

Penggunaan Kamera

Perisian kamera pada Galaxy S20+ didapati mengikut jejak langkah Pixel. Ia terlampau bergantung kepada perisian, seperti kecerdasan buatan atau pembelajaran mesin. Gambar yang dilihat pada viewfinder akan berbeza dengan hasil yang dilihat dalam galeri. Malah, sebaik sahaja selesai mengambil satu gambar dan ingin lihat terus dalam galeri – akan ada animasi memuat berputar masih memproses imej.

Pujian kami berikan kepada antaramuka aplikasi kamera yang kemas dan mudah digunakan. Ikonografi pelbagai fungsi senang difahami. Terdapat banyak pintasan pantas untuk zum terus ke 0.5X, 1.0X, 2.0X, 4.0X, 10X, 30X. Ini ialah kelemahan yang yang tiada dalam peranti Huawei P30 Pro tahun lalu. Samsung memberikan antaramuka mod zum yang kami rasakan lebih mesra pengguna pada siri S20 tahun ini.

Sebelum ini terdapat isu zum yang agak serius. Tetapi kami tidak pun sedari akan isu ini jika tidak ditekankan oleh pengulas lain. Mod zum pada peranti ini sedikit bermasalah. Di dalam, hasil zum tidak setajam mengambil gambar di luar. Auto-fokus juga tidak konsisten.

Paling mengecewakan adalah, peralihan zum antara lensa ke lensa. Perubahan yang ketara yang mengubah sedikit warna gambar dan fokus adalah menjengkelkan. Kenapa peranti Android tidak boleh meniru kemampuan kamera iPhone 11 ke atas dengan peralihan lensa yang baik?

Seperti peranti Pixel, S20+ memproses setiap gambar terlebih dahulu bagi memastikan ketajaman dan warna. Baik atau buruknya akan kami sentuh semula di dalam segmen di bawah. Yang ketara ialah seperti Pixel 4 dan iPhone 11 Pro Max, S20+ turut menggunakan pasca-proses untuk memastikan setiap gambar yang diambil menghasilkan imej yang memuaskan.

Keperluan memproses setiap gambar mewujudkan satu masalah yang amat asing bagi kami pada peranti Samsung. Semakin banyak gambar diambil secara berterusan, peranti akan menjadi semakin panas. Ia tidak membuatkan peranti tidak selesa untuk digunakan tetapi kami dapat merasakan perbezaan suhu pada panel belakang jika kerangka ditanggalkan.

Peranti turut menjadi panas dengan pantas selepas mengambil video 8K walaupun sekadar seminit. Kuasa memproses tinggi yang diperlukan menyebabkan peranti menjadi panas lebih pantas berbanding ketika mengambil gambar.

Kualiti Gambar

Tiba ke segmen kualiti gambar yang dinantikan kebanyakan pembaca artikel ini. Biarkan gambar berbicara dan anda sendiri menjadi hakim. Pada hemat kami penambahbaikan kualiti kamera S20+ jika dibandingkan dengan S10+ dan Note 10+ adalah amat ketara sekali. Walaupun dalam mod auto, gambar yang diambil kelihatan bermaya dan tajam. Pujian kami berikan kepada penghasilan semula warna yang amat hidup.

Scene Optimiser apabila diaktifkan akan memastikan gambar yang diambil diambil dengan tetapan yang betul. Pada S10+ dan Note 10+ kami merungut Samsung cuba menjadi Apple dengan gambar yang tidak menjalani pasca proses yang agresif. Hasilnya ialah gambar yang warnanya kurang hidup dan saturasi yang rendah berbanding peranti mercu Samsung yang lain.Pada S20 Ultra gambar akan menjalani pasca proses yang agresif dan saturasi adalah lebih tinggi berbanding situasi sebenar.

Ya kami tahu ada beberapa kem dengan fahaman berbeza mengenai apakah yang layak dipanggil “kualiti gambar yang baik”. Kem iPhone akan mengatakan gambar yang terhasil harus sama dengan situasi sebenar. Kem Samsung akan mengatakan gambar terang dengan saturasi tinggi adalah perlu. Kem Pixel pula mengatakan gambar mod malam lebih baik dengan kemampuan bokeh yang luarbiasa dan akhir sekali kem Poco akan katakan GCam sudah mencukupi.

Kami tidak boleh mengatakan fahaman mana yang betul di sini. Apa yang kami tahu ialah pada S20+ gambar yang diambil dalam majoriti situasi tidak menggambarkan situasi sebenar. Walaupun ia adalah “gambar palsu” ia masih kelihatan baik jika dibandingkan dengan peranti-peranti lain yang pernah kami uji.

Kesimpulan di sini ialah kelemahan tahun lalu telah diperbaiki oleh Samsung. Gambar kini lebih bermaya dan tajam. Mod malam kini berguna dan bukan sekadar mod menambah hingar. Secara keseluruhan membuatkan kami berasa amat gembira dengan kamera S20+ ini.

Kemampuan Zum

Berikut adalah contoh gambar yang diambil pada tetapan zum 0.5X, 1X, 2X, 4X dan 30X.  Kualiti gambar adalah amat memuaskan sehingga zum 4X kerana masih menggunakan sistem optikal hibrid. Pada tetapan 30X gambar mula kehilangan ketajaman dan objek yang kelihatan aneh selepas diproses peranti. Gambar yang agak kabur ini dihasilkan walaupun pada viewfinder imej kelihatan stabil. Gambar zum jauh ibarat zum ke angkasa ini hanya sesuai dilakukan jika menggunakan tripod sahaja. S20+ tiada sokongan 108MP atau zum 100x seperti S20 Ultra. Tetapi zum 30x ini pun sebenarnya sudah lebih dari mencukupi.

Pada hemat kami, siapa sahaja yang ingin zum pada jarak jauh yang melampau? Malah kami di Amanz hanya menggunakan zum ini untuk ujian dan ulasan sahaja. Baik S20+ atau S20 Ultra, zum 30x dan 100x ini tidak perlul. Paling jauh yang kami gemar pun hanyalah 4x.

Peranti dengan mod malam terbaik pernah diulas di Amanz ialah P30 Pro. Tetapi jika untuk satu atau dua lensa, Pixel 3 dan Pixel 4 adalah yang terbaik. Tetapi berdasarkan beberapa ujian yang telah kami lalukan, takhta kini berpindah tangan ke siri S20. Kami menguji S20, S20+ dan S20 Ultra hasilnya adalah lebih kurang sama. Gambar yang diambil menggunakan S20+ adalah lebih terang, tajam dan mempunyai penghasilan warna semula yang lebih tepat berbanding peranti-peranti pesaing yang lain.

Berikut adalah dua lagi sampel gambar yang diambil bagi menunjukkan kemampuan mod malam S20+. Imej pertama diambil tanpa mod malam bagi menunjukkan tahap kegelapan sebenar ketika gambar diambil.

Video

Peranti mampu melakukan rakaman video sehingga  8K 24FPS. Walaupun kualiti video adalah baik, kadar bingkai yang rendah membuatkan ia kurang memuaskan. Ini adalah kerana kami sudah membiasakan diri dengan rakaman video 4K 60FPS yang kelihatan jauh lebih lancar.

Kami juga percaya kebanyakan pengguna akan memilih kadar bingkai yang lebih tinggi adalah lebih penting berbanding resolusi lebih tinggi. Tambahan lagi tidak ramai di antara kita mempunyai akses kepada TV yang menyokong paparan 8K untuk benar-benar menjadikan rakaman 8K ini berbaloi untuk digunakan. Tambahan lagi saiz fail mencecah 600MB untuk rakaman 8K 24FPS selama seminit. Untuk rakaman 4K 60FPS untuk tempoh yang sama saiz fail ialah sekitar 520MB.

Bagaimana pula dengan kemampuan rakaman 4K 60FPS pada S20+? Video adalah lancar dengan penstabilan yang baik jika pergerakan yang pantas tidak dilakukan. Pada video di bawah dapat dilihat sistem penstabilan yang bekerja keras sehingga pergerakan tidak kelihatan lancar. Malahan ketidaklancaran ini dapat dilihat apabila kamera cuba memfokus pada objek ketika kami melakukan panning.

Galaxy S20+ turut mempunyai mod rakaman Super Steady yang akan menstabilkan hasil rakaman video menggunakan OIS dan juga perisian. Kami agar terkejut dengan hasil yang Samsung berikan. Walaupun saya berlari dan melompat, kualiti masih cantik, terang dan tidak bergegar seperti peranti lain. Bukan itu sahaja, jika anda lihat semula kesemua video, mikrofonnya juga adalah baik sekali. Mampu merakam audio sekeliling seperti bunyi burung-burung dengan baik.

Setakat ini, kami amat menggemari siri S20. Ia mempunyai kemampuan kamera yang baik tidak kira di waktu malam atau tidak. Kemampuan zum yang sudah semakin baik, mod bokeh yang semakin kemas dan secara keseluruhan memuaskan.

Audio

Audio stereo yang mantap dapat dinikmati dari sepasang pembesar suara stereo yang disertakan. Satu pembesar suara terletak pada bahagian hadapan manakala satu lagi pada bahagian bawah. Sungguhpun begitu kualiti audio yang dihasilkan masih lagi seimbang dan paling penting sekali lantang. Untuk kenikmatan audio sebenar, kami menyarankan sistem Dolby Atmos diaktifkan sepanjang masa. Secara default ia tidak diaktifkan.

Kesemua codec audio utama disokong bagi memastikan muzik kegemaran dapat didengari pada kualiti yang terbaik. Satu-satunya kekurangan ialah tiada lagi bicu audio kerana ini ialah trend semasa. Ramai yang pasti merinduinya tetapi kami bagi menghasilkan peranti berbezel kecil dan saiz bateri yang besar, bicu audio terpaksa dikorbankan.

Aksesori audio yang kami uji adalah set fon kepala nirwayar dengan pembatalan hingar aktif Sony WH-1000XM3. Ia menyokong LDAC dan peranti S20+ turut menyokongnya. Kualiti audio memang memuaskan.

Penanda Aras

Seperti tahun-tahun terdahulu, S20+ untuk pasaran Malaysia kekal menggunakan cip Exnos. Exynos 990 tahun ini dipadankan dengan memori sebesar 8GB LPDDR5 dan storan 128GB UFS 3,0. Cip yang digunakan adalah kemas kini kepada Exynos 9825 yang digunakan pada Note 10+. Kedua-dua cip dihasilkan menggunakan teknologi 7nm tidak seperti Exynos 9820 pada S10+ yang masih menggunakan teknologi 8nm.

Apabila ujian penanda aras Antutu 3D dan Geekbench 5 dilakukan, markah yang dicatatkan oleh S20+ adalah seperti berikut – 357,929 markah dalam ujian Antutu 3D dan 468/2183markah dalam ujian Geekbench 5. Sedikit mengecewakan yang ia tidak mempunyai kuasa yang setaraf dengan S20 Ultra. Ini mungkin kerana penggunaan RAM yang lebih rendah.

Bateri

Bateri 4500 mAh yang digunakan adalah yang terbesar pernah digunakan dan kami pada awalnya amat berharap ia akan mempunyai hayat penggunaan yang jauh lebih baik berbanding S10+.

Dalam penggunaan paling berat dengan skrin 120Hz, peranti boleh mencapai SOT selama hampir 7 jam. Ujian bateri dilakukan dengan penggunaan yang kami kategorikan sebagai agak berat kerana dilakukan menggunakan sambungan selular, banyak mengambil gambar serta mengaktifkan aplikasi GPS.

Kami tidak menguji kemampuan 60Hz, kerana apa keunikannya di situ? Tetapi kami yakin ia akan mempunyai ketahanan yang lebih baik. Kecuali jika and menggunakan 60Hz dan QHD+, ia mungkin akan mempunyai ketahanan yang lebih kurang sama.

Hayat bateri mungkin tidak sebaik yang kami idamkan tetapi tempoh pengecasan adalah amat baik. Bateri boleh dicas dari 3% ke 100% dalam masa 58 minit sahaja menerusi pengecas 25W yang diberikan. Tetapi itu adalah dalam keadaan peranti dimatikan. Jika dihidupkan, masa pengecasan sambil menggunakan peranti adalah sekitar 74 minit.

S20+ tidak menyokong pengecas Super Fast Charger 45W seperti S20 Ultra. Sedikit kecewa, tetapi syukur ketahanan bateri memadai untuk penggunaan harian. Jika pengecasan nirwayar penting bagi anda, ia boleh dicas dengan output 15W dan pada waktu yang sama mengecas peranti lain secara nirwayar dengan output 9W.

Pesaing

Peranti Pesaing
Samsung Galaxy S20 Ultra 5G Huawei Mate 30 Pro 5G Apple iPhone 11 Pro Max
6.9″ Dynamic AMOLED X2 QHD+, HDR10+ (498 PPI) 6.53″ Fluid OLED FHD+ (409 PPI) 6.5″ OLED XDR Retina, HDR10 (458 PPI)
Exynos 990
2 X 2.7 GHz Mongoose M4
2 X 2.5 GHz Cortex A76
4 X 1.0 GHz Cortex A55
Kirin 990 5G
2 X 2.86 GHz Cortex A76
2 X 2.36 GHz Cortex A76
4 X 1.95 GHz Cortex A55
A13 Bionic
2 X 2.65 GHz Lightning
4 X 1.8 GHz Cortex A55
Mali-G77 MP11 Mali-G76 MP16 Apple GPU
12 Gigabyte 8 Gigabyte 4 Gigabyte
128 UFS 3.0 (SD Card sehingga 1TB) 256 Gigabyte UFS 3.0 (NM Card 256GB) 64/256/512 Gigabyte
Kamera Utama 108+12+48+3D Megapixel (f/1.8+f/2..2+f/3.5), OIS, PDAF, Zum Optikal Hibrid 10X, Zum Digital 100X Kamera Utama 40+8+40+3D Megapixel (f/1.6+f/2..4+f/1.8), OIS, PDAF, Zum Optikal 3X, Zum Digital 30X Kamera Utama 12+12+12 Megapixel, (f/1.8+f/2.4+f/2.0), OIS, Zum Optikal 2X
Kamera Hadapan 40-Megapixel f/2.2 Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 12 Megapixel f/2.2
IP68 IP68 IP68
5000 mAh (Berwayar 45W)/Nirwayar 15W) 4500 mAh (Berwayar 40W/Nirwayar 27W) 3969 mAh (Berwayar 18W/Nirwayar Qi)
RM4999 RM4199 Dari RM5299

Kesimpulan

Adakah Samsung Galaxy S20+ berbaloi untuk dimiliki? Ini ialah soalan yang diajukan di awal artikel. Berbaloi dan untuk siapakah peranti ini?Jelas di sini, jika anda tidak mampu membeli Galaxy S20 Ultra yang mencapai hampir RM5k, S20+ adalah berbaloi sekali. Itu pun jika anda tidak hiraukan pasal kemampuan zum 100x. Dari segi kamera apa yang S20+ tawarkan sudah cukup baik dan hebat.

Ini adalah peranti Samsung terbaik yang pernah tiba ke makmal Amanz. Sehingga hari ini, peranti ini tiada sebarang masalah, tiada lengah masa, tidak memanas secara tiba-tiba dan menepati cita rasa saya – yang sebelum ini tidak gemarkan peranti Samsung.

Jika anda adalah seorang yang pentingkan fotografi, ketahanan bateri, kecantikan skrin dan rekaan yang moden – Galaxy S20+ adalah peranti untuk anda. Jika anda ingin beli peranti mercu untuk permua, S20 Ultra adalah lebih baik. Prestasi S20+ tidak sehebat Ultra dan hanya setanding seakan peranti mercu tahun lepas.

Apa yang boleh kami katakan mengenai S20+ adalah ia sebuah peranti yang serba lengkap di pasaran mengikut trend terkini. Ya, harga RM3999 mungkin masih mahal dan storan terhad kepada 128GB dan memori 8GB – tetapi ini sahaja pilihan peranti mercu baharu anda boleh dapatkan di Malaysia. Mungkin jika One UI bukan pilihan anda, ada peranti mercu lain seperti Oppo Find X2 dan X2 Pro. Color OS 7 pada hemat kami masih tidak setanding lagi dengan One UI atau pelancar lain – apa kata anda?

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Skrin 120Hx terbaik yang pernah kami gunakan.
  • Antaramuka One UI 2.1 yang menarik dan perubahan hebat.
  • Kehebatan kamera yang berada di laur jangkaan.
  • Kemampuan rakaman video dan gambar yang baik.
  • Masalah dengan mod zum memfokus apabila digunakan di kawasan tertutup.
  • Storan 128GB adalah terlalu kecil bagi sebuah peranti mercu premium.
  • Pengoptimasian bateri tidak memuaskan.
  • Pengecasan terhad kepada 25W sahaja.


TIPS & ULASAN