Awal hari ini, kami telah melaporkan bahawa Apple bakal memperkenalkan empat model iPad Pro baharu dimana ia akan hadir dengan model kamera tiga lensa seakan-akan iPhone 11 Pro.
Apple baru sahaja mengemaskini laman web mereka dengan model-model baru tersebut, dan akhirnya kami dapat melihat spesifikasi-spesifikasi dalaman tablet untuk golongan profesional tersebut.
Bermula dengan paparan skrin, iPad Pro baru ini dilengkapi dengan paparan skrin Liquid Retina 11 (2388×1668 pixel) dan 12.9 inci (2732×2048 pixel) dengan teknologi ProMotion 120Hz yang menjanjikan pengalaman menatal dan melukis yang lancar.
Ia dikuasakan oleh CPU A12Z Bionic, cip pemprosesan yang lebih kurang sama seperti apa yang digunakan didalam peranti generasi lepas, iaitu iPhone XS, XS Max dan juga XR.
Dari segi modul kamera, tablet ini turut menggunakan sistem kamera sama yang dilihat pada iPhone 11, iaitu lensa lebar 12MP dan lensa ultra-lebar 10MP yang mempunyai kebolehan zum sehingga lima kali, dan juga pengesan LiDAR untuk tujuan pengesanan 3D dan juga realiti imbuhan.
Sama seperti model sebelum ini, pengguna diberi pilihan model dengan sokongan untuk sambungan WiFi (802.11ax) sahaja, ataupun dengan sambungan selular melalui kad nanoSIM untuk mereka yang sering menggunakan peranti ini di luar dan memerlukan sambungan internet kendiri.
Pilihan storan untuk iPad Pro baru ini juga cukup banyak, Apple memberi pengguna pilihan untuk mendapatkan model dengan pilihan storan bermula dari 128GB, 256GB, 512GB dan 1TB.
Apa yang lebih menarik lagi mengenai peranti ini ialah ia kini hadir dengan sokongan untuk aksesori papan kekunci baru yang kini mempunyai pad sesentuh terbina didalamnya.
Menurut Apple, mereka akan mengemaskini model-model iPad, iPad Pro dan iPad Mini terpilih sebelum ini untuk turut menyokong papan kekunci baru tersebut.
Tanda harga untuk iPad Pro terbaru ini sudah boleh dilihat di laman web Apple Malaysia, dan ia boleh dibeli tidak lama lagi pada harga bermula RM3499 untuk model WiFi dengan storan 128GB, dan RM4199 untuk model WiFi+Selular dengan jumlah storan yang sama.