Cari @ Amanz

Sewaktu acara penstriman kuliah pembangun permainan oleh Mark Cerny di YouTube, beliau turut memperlihatkan spesifikasi dalaman konsol Sony PlayStation 5 yang akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Seperti yang sudahpun diketahui, PlayStation 5 akan dikuasakan oleh System on a Chip (SoC) oleh AMD yang menggabungkan CPU AMD Zen 2 dan juga cip pemprosesan grafik RDNA2 yang baru sahaja diperkenalkan oleh AMD. Ia juga akan digandingkan dengan memori GDDR6 sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe 4 sebesar 825GB.

Satu ciri tambahan yang menarik mengenai storan konsol ini ialah pengguna boleh membeli storan SSD PCIe4 M.2 mereka sendiri (yang akan diiktiraf oleh Sony kelak) dan memuatkannya terus kedalam konsol tersebut sebagai satu cara untuk menambahkan storan jika ia tidak mencukupi.

Walaupun begitu, Mark Cerny mengatakan bahawa storan PCIe 4 yang dibeli pengguna mestilah sepantas storan yang digunakan didalam konsol PlayStation 5, jika tidak, terdapat kebarangkalian bahawa permainan anda tidak akan berfungsi secara optimum, ataupun berfungsi langsung.

Keserasian kebelakang (backward compatiblity) dengan permainan PlayStation 4 disahihkan semula oleh Mark Cerny, dan pengguna boleh menggunakan storan luaran melalui sambungan USB 3 untuk memainkan permainan-permainan tersebut.

Selain daripada itu, PlayStation 5 akhirnya akan mula menyokong cakera Blu-Ray 4K HDR, menjadikannya sebuah pemain media beresolusi tinggi semua dalam satu.

Satu lagi ciri menarik konsol ini ialah sokongan teknologi audio 3D yang dinamakan Tempest 3D Audio Engine yang menjanjikan kualiti bunyi audio sekeliling (surround sound audio) yang lebih mantap dengan kualiti yang tinggi.

Sayangnya, rekaan Sony PlayStation 5 tidak diperlihatkan sewaktu kuliah atas-talian Mark Cerny, dan setakat ini masih tiada lagi pengumuman mengenai bilakah orang ramai boleh melihat rekaan akhir konsol permainan generasi akan datang Sony tersebut.

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi teknikal PlayStation 5 ini, anda boleh menonton video Road To PS5 di sini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd