Beberapa Pengguna Samsung Galaxy S20 Melaporkan Masalah Dengan Sokongan GPS

Beberapa Pengguna Samsung Galaxy S20 Melaporkan Masalah Dengan Sokongan GPS

Diterbitkan pada Mac 19, 2020 oleh .

Samsung Galaxy S20 adalah siri peranti mercu baharu Samsung untuk tahun ini. Ia menggunakan cip pemprosesan Exynos 990, memori sehingga 12GB RAM, skrin 120Hz, dan juga kamera 108MP. Tidak dinafikan yang siri Samsung Galaxy S20 adalah peranti yang baik untuk tahun ini, mendahului pelbagai pesaing lain buat masa ini.

Terkini, beberapa pengguna Samsung Galaxy S20+ dan Galaxy S20 Ultra melaporkan terdapat masalah GPS pada peranti mereka. Isu ini dilihat berlaku pada Google Maps dan Waze dan mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit untuk mengunci lokasi. Jika sudah berjaya mengunci aplikasi, ia masih tidak tepat dan tidak boleh digunakan kerana lokasi yang dikunci akan berubah-ubah pada jarak radius 1.6KM-3.2KM. Walaupun sudah membuat tentukur kompas, tukar kad SIM, tukar sambungan Internet atau juga membuang memori cache dan storan aplikasi – isu masih berterusan.

Tidak pasti sama ada isu ini berlaku pada Galaxy S20 yang dijana Snapdragon 865 atau turut berlaku pada Exynos 990. Ini kerana, S20 Ultra dan S20+ yang saya gunakan tiada isu ini. Ada pengguna katakan ia adalah kerana sokongan 5G pada setiap peranti, yang bermakna mungkin terhad kepada S20 yang dijana Snapdragon sahaja. Apa-apa pun, kita perlu nantikan kenyataan dari Samsung atau lihat sahaja kehadiran kemaskini membaiki isu ini.



TIPS & ULASAN