Sistem Apple CarPlay dan Android Auto diperkenalkan bagi tujuan mengintegrasikan telefon pintar pada sistem infohibur kenderaan. Ia dibangunkan bagi menyelesaikan masalah menggunakan telefon sambil memandu yang boleh mengakibatkan kemalangan serius. Tetapi menurut kajian terkini dari IAM RoadSmart – sebuah badan keselamatan jalan raya di UK, sebaliknya pula berlaku,
Menurut kajian mereka menggunakan dua sistem pintar kenderaan ini ketika memandu adalah lebih berbahaya dari menaip pada peranti ketika memandu. Jika skrin sesentuh sistem infohibur digunakan,masa tindak balak memandu merosot di antara 53-57%, Memandu dalam keadaan mabuk (0.08% alkohol dalam darah)hanya menyebabkan pemerosotan 18% manakala memandu di bawah pengaruh ganja pula menyebabkan pemerosotan 21%.
Jika sistem kawalan suara seperti Siri pula digunakan, masa tindak balas merosot di antara 30-36% sedangkan menaip sambil memandu menyebabkan pemerosotan 35%. Jelas dari kajian ini sistem inforhibur CarPlay dan Android Auto mungkin tidak mengurangkan risiko kelalaian seperti yang dijangka sebelum ini.
Kajian ini hanya dilakukan oleh 40 subjek yang memandu menggunakan sebuah penyelaku. Sungguhpun begitu IAM RoadSmart kini cuba menggesa kerajaan UK untuk mengkaji semula penggunaan sistem infohibur dalam kenderaan yang dijual di negara mereka.