Google sedia mempunyai penawaran variasi Android yang dioptimasikan untuk telefon pintar dengan spesifikasi asas, dinamakan Android Go. Melengkapkan penawaran berkenaan adalah sejumlah aplikasi khusus yang dioptimasikan, dipanggil sebagai versi “Go”.
Terbaru, hari ini Google mengumumkan yang mana Android Go menjana lebih 100 juta peranti aktif seluruh dunia, dan selari dengannya, Google turut mengumumkan pengenalan Camera Go.
Aplikasi Camera Go adalah aplikasi merakamkan gambar yang akan hadir diintegrasikan secara mendalam pada sistem operasi berkenaan – menawarkan sokongan rakaman gambar yang lebih baik berbanding sebelum ini.
Camera Go menawarkan antaramuka yang ringkas, dioptimasikan untuk pengguna telefon pintar kali pertama. Malah, ia turut menyertakan Potrait Mode untuk rakaman gambar potret yang cantik.
Buat masa ini, Camera Go hanya hadir bersama telefon Nokia 1.3 terbaru. Kita mungkin melihat penggunaan Camera Go dengan lebih meluas pada peranti lain tidak lama lagi.