Carian
Nokia 1.3 Kini Rasmi – Peranti Android Go Dengan Bateri Boleh Tanggal
March 20, 2020 Effi Saharudin

Legasi Nokia dibina dengan menghasilkan berbilion telefon mudah alih pada waktu ia masih dilihat sebagai satu kemewahan. Mereka meneruskan legasi terpuji mereka ini menerusi Nokia 1.3 yang merupakan peranti pintar Android kelas asas yang dijual pada harga marhaen.

Nokia 1.3 dilengkapi skrin 5.7″ HD+. dijana cip Qualcomm QM215 empat teras, memori sebesar 1GB, storan sebesar 16GB dan bateri sebesar 3000 mAh. Bateri ini masih boleh ditanggalkan tetapi sekadar menyokong pengecasan 5W menerusi port mikroUSB.

Kamera utama adalah sebesar 8-Megapixel manakala kamera swafoto pula sebesar 5-Megapixel yang diletakkan dalam takuk bersaiz kecil. Bagi membolehkan peranti berjalan lancar walaupun dengan spesifikasi rendah, sistem operasi Android 10 Go Edition digunakan.

Memandangkan Nokia 1.3 ialah sebuah peranti kelas asas, tiada sokongan pengimbas cap jari diberikan. Tetapi butang khas untuk menyeru Google Assistant diletakkan pada sisi kiri peranti.

Nokia 1.3 akan dijual bermula April hadapan dengan harga purata global 95 Euro (~RM448) dalam warna Charcoal, Cyan dan Sand,

Komen