Spotify boleh dikatakan perkhidmatan penstriman lagu yang terbaik hari ini kerana pilihan lagunya yang cukup besar, dan juga sokongan yang mantap untuk pelbagai jenis platform, termasuklah Android, iOS dan juga Windows.
Salah satu daripada ciri yang sering diminta oleh pengguna ialah kebolehan untuk memaparkan lirik-lirik lagu supaya pengguna mereka boleh menyanyi seperti di pusat karaoke.
Spotify baru-baru ini dilihat menguji ciri tersebut pada aplikasi Windows 10 mereka, dimana pengguna boleh membaca lirik sambil mendengar lagu-lagu kegemaran mereka. Ujian ciri ini dilaporkan telah bermula sekitar sebulan yang lalu, dan Spotify mungkin akan melancarkannya tidak lama lagi.
Berdasarkan laporan MSPowerUser, lirik-lirik yang digunakan untuk ujian ini dibekalkan oleh MusicMatch, dan apabila dilancarkan kelak, lirik-lirik yang digunakan adalah gabungan lirik daripada artis sendiri dan juga komuniti Spotify.
Buat masa ini, mereka masih belum mengumumkan bilakah ciri bacaan lirik ini akan dilancarkan.