Samsung Galaxy S20 Dengan Cip Exynos Dilaporkan Mengalami Masalah “Reboot” Secara Rawak

Samsung Galaxy S20 Dengan Cip Exynos Dilaporkan Mengalami Masalah “Reboot” Secara Rawak

Diterbitkan pada Mac 20, 2020 oleh .

Semalam kami telah melaporkan yang beberapa peranti siri Samsung Galaxy S20 mempunyai masalah sokongan GPS. Disebabkan ada yang katakan ia berkait dengan 5G, ia terhad kepada Galaxy S20 yang dijana Snapdragon 865 sahaja. Terkini, ada masalah lain pula yang tiba dan ia berkemungkinan akan berlaku kepada pengguna Galaxy S20 variasi Exynos.

Ini kerana, masalah yang baru ini dikatakan terhad untuk siri Galaxy S20 yang dijana Exynos 990 sahaja. Masalah ini adalah peranti akan reboot secara tiba-tiba dan akan berlaku secara rawak. Tiada punca utama bagaimana reboot ini boleh berlaku, setiap pengguna yang melaporkan masalah ini sedang melakukan perkara yang berbeza seperti mengecas peranti atau menggunakan set fon telinga USB-C. Wakil Samsung mengatakan yang ia berpunca dari beberapa lapisan perisian One UI. Ada pepijat yang menyebabkan perkara ini berlaku. Jadi menuntut jaminan untuk tukar ke peranti baru juga tiada gunanya.

Wakil Samsung turut katakan yang mereka sedang berusaha membangunkan kemaskini untuk menyelesaikan isu ini. Akan tetapi tiada tarikh yang boleh dijanjikan, tetapi adalah dalam masa terdekat. Unit Galaxy S20+ saya pernah berlaku dalam sekali sahaja setakat ini. Itu pun beberapa hari yang lalu dan hari ini isu ini sudah tidak kelihatan. Apa-apa pun sama-sama kita nantikan.



TIPS & ULASAN