Cari @ Amanz

Apabila bercakap mengenai spesifikasi komputer riba gaming, gabungan yang biasa digunakan oleh pembuat komputer riba ialah Intel dan NVIDIA. Ini adalah kerana untuk sekian lamanya, kedua-dua syarikat ini merupakan satu-satunya pilihan didalam segmen komputer riba, tidak kira untuk tujuan produktiviti ataupun riadah.

MSI, sebuah jenama gaming yang terkenal di serata dunia baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah model komputer riba gaming baru yang dikuasakan oleh sebuah syarikat yang sudah lama tidak diperdengarkan didalam segmen ini, iaitu Advanced Micro Devices ataupun AMD.

Komputer riba tersebut ialah MSI Alpha 15, komputer riba gaming pertama oleh MSI yang dikuasakan sepenuhnya oleh komponen-komponen dari AMD.

MSI Alpha 15 adalah siri terbaru didalam model-model komputer riba MSI. Oleh kerana kedudukan uniknya sebagai satu-satunya model yang dikuasakan sepenuhnya oleh AMD, MSI juga telah mencipta sebuah logo baru khusus untuk model ini yang boleh dilihat di bahagian belakang paparan, yang dinamakan Thunderbird.

Rekaan MSI Alpha 15 ini juga cukup berkualiti tinggi, dengan penggunaan logam untuk rangka dalaman dan luaran yang memastikan ia kelihatan seperti sebuah produk yang premium.

Dikuasakan oleh APU AMD Ryzen 7 3750H, MSI Alpha 15 juga mempunyai memori DDR4 sehingga 16GB, storan SSD PCIe sehingga 512GB dan cip pemprosesan grafik 7nm yang pertama melalui model AMD Radeon RX 5500M yang tiba dengan 4GB memori GDDR6.

Banyak pembuat komputer riba memperlihatkan paparan dengan kadar segar semula yang pantas, tetapi satu isu yang tidak dipandang serius ialah screen-tearing, iaitu apabila output cip pemprosesan grafik tidak dapat mengikuti kepantasan kadar segar semula paparan, dan sebaliknya.

MSI Alpha 15 ini juga dilengkapi dengan paparan skrin IPS bersaiz 15.6 inci dengan pilihan kadar segar semula 120Hz dan 144Hz, dimana kedua-duanya menyertakan sokongan untuk AMD FreeSync.

Ia adalah sebuah teknologi paparan yang mengurangkan isu seperti screen tearing dimana output cip pemprosesan grafik diselarikan dengan kadar segar semula paparan untuk pengalaman gaming yang lebih mengasyikkan.

Bercakap lebih lanjut mengenai paparan MSI Alpha 15 ini, ia juga hadir dengan rekaan hampir nirbingkai dimana saiz bingkai di bahagian sisinya hanya mempunyai ketebalan 5mm. Ini membantu MSI untuk mengurangkan saiz keseluruhan komputer riba ini sambil mengekalkan saiz paparan yang sama.

Dalam pada itu, pelbagai ciri-ciri pemprosesan grafik yang diperkenalkan pada tahun lepas melalui pelancaran siri kad grafik AMD Radeon RX5700 juga diperlihatkan melalui MSI Alpha 15, seperti AMD Fidelity FX. Radeon Image Sharpening, AMD Smartshift dan kemudahan untuk mengoptimasi permainan melalui Radeon Software.

Jika anda seorang yang turut gemar bermain permainan di platform mudah-alih, MSI Alpha 15 turut menyediakan sebuah perisian yang dinamakan MSI App Player yang dibina bersama-sama dengan BlueStacks untuk membenarkan pengguna untuk memainkan permua-permua kegemaran mereka pada komputer riba ini.

Apa yang membuatkannya lebih menarik, oleh kerana MSI Alpha 15 mempunyai paparan yang menyokong kadar segar semula yang tinggi, permainan-permainan yang menyokongnya boleh memanfaatkan ciri ini secara penuh.

Salah satu aspek yang diberikan penekanan yang cukup serius oleh MSI ialah penyejukan peranti-peranti mereka. Dengan MSI Alpha 15, MSI memperkenalkan sistem penyejukan Cooler Boost 5.

Cooler Boost 5 terdiri daripada tujuh paip haba, dua buah kipas penyejuk dengan 37 bilah kipas dan tiga aliran keluar udara untuk pengalihan haba yang cekap. Rekaan komputer riba ini, bersama-sama dengan sistem penyejukan tersebut membolehkan pengaliran udara 10 peratus lebih banyak.

Rekaan berlubang di bahagian bawah komputer riba ini juga membolehkan 137 peratus lebih banyak udara disedut untuk membantu penyejukan komponen-komponen AMD komputer riba ini. Penggunaan dua pembesar suara gergasi, dengan cip pemprosesan audio Nahimic dan sokongan untuk HiRes Audio menjanjikan pengalaman audio yang setanding dengan kuasa pemprosesan komputer dan grafik MSI Alpha 15.

MSI Alpha 15 sudahpun boleh dibeli di pasaran tempatan dengan spesifikasi dan tanda harga berikut:

Model Memori (DDR4) Storan (PCIe SSD) Paparan Harga
MSI Alpha 15 8GB 256GB 15.6 inci Full HD (120Hz) RM4299
MSI Alpha 15 16GB 512GB 15.6 inci Full HD (144Hz) RM4799

Bukan itu sahaja, setiap pembelian komputer riba gaming MSI Alpha 15 ini akan disertakan dengan pilihan sebuah permainan percuma, samada Borderlands 3 ataupun Tom Clancy’s Ghost Recon: Breakpoint.

Dikala waktu ini dimana Perintah Kawalan Pergerakan sedang berlaku, anda boleh membeli komputer riba MSI Alpha 15 ini di kedai atas-talian MSI di Lazada, dimana ia akan dihantar terus ke rumah anda tanpa sebarang isu.

Penafian: Advertorial daripada MSI

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd