Samsung cukup dikenali di seluruh dunia bukan sahaja untuk peranti-peranti mereka yang berkuasa dan penuh dengan ciri-ciri menarik, tetapi juga untuk komponen-komponen dalaman yang dibina oleh mereka sendiri.
Terkini, Samsung baru sahaja memperkenalkan siri litar bersepadu pengawalan kuasa (Power Management Integrated Circuit) atau PMIC terbaru mereka yang dinamakan MUA01 dan MUB01 yang dicipta khusus untuk peranti-peranti fon telinga nirwayar True Wireless Stereo mereka.
Apa yang membuatkan komponen ini menarik ialah Samsung telah berjaya mengintegrasikan sepuluh komponen berbeza didalam satu komponen, dimana saiznya yang jauh lebih padat membolehkan Samsung memuatkan bateri yang jauh lebih besar berbanding dengan model-model fon telinga TWS sebelum ini.
Lebih menarik lagi, PMIC MUA01 dan MUB01 ini turut memuatkan cip pengecasan berwayar dan nirwayar didalam satu pakej, sesuatu yang agak baru, walaupun untuk produk sekecil fon telinga TWS.
Dalam pada itu, Samsung turut mengesahkan oleh kerana PMIC ini mempunyai storan eFlash didalamnya, kemaskini boleh dilakukan pada perisian tegar (firmware) PMIC ini untuk digunakan pada aplikasi-aplikasi lain.
Teknologi ini mungkin baru diperkenalkan, tetapi ia telahpun digunakan didalam sebuah produk baru Samsung, iaitu Samsung Galaxy Buds+ yang diperkenalkan bersama-sama dengan peranti mercu terkini mereka, iaitu Samsung Galaxy S20.