Huawei telah mula menggunakan HMS atau nama penuhnya, Huawei Mobile Services secara menyeluruh menggantikan Google Play Services pada telefon pintar mereka. Ia telah mula digunakan sejak pada peranti Mate 30 sebelum ini, dan ia diteruskan pada telefon pintar Huawei P40 yang dilancarkan semalam.
Menyentuh mengenainya, pihak Huawei kini mengumumkan yang mana Huawei Mobile Services mempunyai lebih 400 juta pengguna aktif bulanan di seluruh dunia. Perkhidmatan HMS ini telah ditawarkan di lebih 170 buah negara – termasuk di Malaysia sendiri.
Perkhidmatan HMS ini meliputi sejumlah perkhidmatan Huawei, termasuk AppGallery, Huawei Music, Huawei Video, Huawei Cloud dan sebagainya.
Pada masa yang sama, Huawei turut mengatakan mereka mempunyai lebih 1.3 juta pembangun dan rakan kerjasama pada platform mereka hari ini.
Buat masa ini, HMS ini boleh dikatakan masih pada peringkat awal. Tetapi, dengan perkembangan sihat ini, kita mungkin melihat banyak lagi aplikasi diterbitkan di platform berkenaan dari hari ke hari.