Kerajaan Amerika Syarikat Dilihat Ingin Menyekat Bekalan Cip Huawei

Kerajaan Amerika Syarikat Dilihat Ingin Menyekat Bekalan Cip Huawei

Diterbitkan pada Mac 27, 2020 oleh .

Semalam, Huawei baru sahaja melancarkan siri peranti mercu terbaru mereka, Huawei P40 untuk pasaran global. Peranti tersebut dikuasakan oleh cip pemprosesan Hisilicon Kirin 990 yang juga digunakan pada siri peranti Huawei Mate 30.

Tidak sudah dengan sekatan-sekatan yang sudahpun dijatuhkan terhadap syarikat teknologi China tersebut, kerajaan Amerika nampaknya tekad menjatuhkan Huawei dengan pelan terbaru untuk menyekat bekalan cip mereka pula.

Menurut laporan Reuters, kerajaan Amerika Syarikat dilaporkan sedang menyiapkan undang-undang baru dimana syarikat-syarikat luar negara  yang menggunakan teknologi negara mereka akan perlu mendapatkan lesen khas sebelum mereka boleh membekalkan apa-apa komponen kepada Huawei.

Laporan tersebut turut mengatakan bahawa ini adalah untuk mengurangkan penjualan cip pemprosesan oleh Taiwan Semiconductor Company (TSMC) kepada Huawei, dimana kedua-dua syarikat tersebut bekerjasama untuk membangunkan teknologi pembuatan cip pemprosesan.

Menariknya, pakar-pakar perdagangan berkata bahawa ini akan memberi impak yang negatif bukan sahaja pada Huawei, tetapi juga syarikat-syarikat dan juga rakyat di Amerika Syarikat yang masih bergantung kepada perkakasan-perkakasan Huawei kerana kosnya yang jauh lebih murah berbanding dengan pilihan daripada syarikat-syarikat lain.

Dalam pada itu, jika sekatan tersebut diteruskan terhadap Huawei, pakar-pakar tersebut juga mengatakan bahawa Huawei hanya memerlukan masa yang singkat untuk membina rantaian bekalan mereka sendiri.



TIPS & ULASAN