Cari @ Amanz

Sudah lama Vivo senyap sahaja di Malaysia. Di luar negara, sudah ada banyak peranti dilancarkan termasuk Vivo NEX 3s dan akan datang Vivo S6 5G. Peranti Vivo pertama di Malaysia adalah Vivo V19. Ia adalah sebuah peranti kelas pertengahan premium yang memfokuskan swafoto. Jadi, bagi mereka yang gemar berswafoto ini akan menjadi peranti pilihan terbaik. Kenapa?

Pada Vivo V19, Vivo telah memfokuskan kepada kemampuan fotografi swafoto. Ia menyokong mod malam dengan teknologi kecerdasan buatan tersendiri. Kebiasaannya, mod malam hanya akan cantik dan hebat pada kamera belakang sahaja. Vivo menggunakan strategi yang ramai pengeluar peranti tidak begitu memberi fokus. Ini adalah artikel pandang pertama Vivo V19. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, kami telah menguji peranti ini dari segi kemampuan fotografi, kualiti skrin dan juga prestasi. Adakah benar dakwaan Vivo ini? Jom baca sehingga akhir perenggan.

Spesifikasi

Vivo V19 menggunakan skrin bersaiz 6.44-inci dengan paparan FHD+ Super AMOLED. Rekaan skrin yang digunakan adalah dwi-lubang untuk memuatkan dua lensa kamera swafoto. Peranti ini dijana dengan cip Snapdragon 712 dan dipadankan dengan memori 8GB RAM dan 128GB UFS 2.1 storan dalaman. Bateri ynag dimuatkan pula adalah 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas FlashCharge 2.0 33W.

Ini juga adalah peranti Vivo pertama di Malaysia yang menjalankan Funtouch OS 10 berasaskan Android 10. Sistem penyejukan turut terbina pada peranti ini agar boleh bermain permua dengan suhu yang terkawal. Kamera yang digunakan adalah 32+8 Megapixel untuk swafoto dan 48MP + 8MP + 2MP + 2MP untuk kamera utama.

Pengalaman Penggunaan

Skrin peranti ini menyokong paparan HDR. Di YouTube ia memperlihatkan warna yang amat tajam, cukup cerah, nilai dynamic range yang mencukupi untuk peranti dalam kelasnya. Butiran kelihatan jitu dan amat memuaskan. Menonton video di YouTube akan memberikan pengalaman yang mengasyikkan. Kandungan warna hitam juga cukup gelap, jelas panel OLED adalah yang berkualiti. Panel Super AMOLED Ultra O skrin berlubang untuk lensa swafoto adalah tidak kemas. Ia ada kesan pantulan cahaya, dan pelindung lensa itu jelas kelihatan. Disebabkan itu, walaupun ia adalah OLED – ia tidak menyembunyikan lensa itu di sebalik warna hitam OLED seperti peranti pesaing.

Pembesar suara mono yang kurang memuaskan. Ini kerana apabila arasa suara ditetapkan pada tahap yang maksima, ia menghasilkan bunyi yang bingit. Tetapan bawah 70% walau bagaimanapun agak baik dan boleh diterima – tetapi terlampau perlahan. Bukan itu sahaja, kualiti audio juga tidak mempunyai bass yang mencukupi dan hasil audionya terlampau flat. Syukur, port bicu audio 3.5mm disertakan agar pengguna boleh sahaja menggunakan mana-mana set fon telinga berkualiti.

Prestasi dalam percubaan yang ringkas adalah amat lancar. Malah lebih lancar dari peranti pesaing seperti Redmi Note 9S yang dijana Snapdragon 720G. Mungkin disebabkan Vivo mempunyai jumlah memori yang besar, jadi Snapdragon 712 sudah memadai. Animasi pada setiap tatalan, buka/tutup aplikasi, tukar aplikasi dan sebagainya juga baik. Sungguh lancar dan pantas. Sepanjang penggunaan tidak ada rasa lengah masa atau microlag. Skor tanda aras juga boleh diterima. AnTuTu menerima skor 238273, manakala Geekbench 5 skor satu teras adalah 412 dan skor multi-teras pula adalah 1522.

Untuk bermain permua, Vivo V19 turut menyertakan sokongan Multi-Turbo 3.0 bagi meningkatkan tahap sensitiviti sentuhan agar lebih pantas. Kemudian, turut disertakan adalah Ultra Game Mode serba baharu dengan kemampuan tangkapan dan rakaman skrin yang mudah, kesan getaran ketika bermain permua, pengubah suara, dan fungsi kira detik.

Untuk sekuriti, Vivo menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin jenis optikal. Mempelajari dari Vivo S1, menyahkunci peranti adalah amat pantas. Vivo turut sertakan gabungan nyahkunci serentak dengan imbasan wajah dan cap jari sebagai sekuriti tambahan.

Antaramuka

Sistem operasi yang digunakan adalah Funtouch OS 10 berasaskan Android 10. Ia adalah baru untuk peranti Vivo. Walaupun tidak banyak perubahan, jika anda sudah biasa menggunakan peranti Vivo anda akan perasan perubahan dari animasi, rekaan ikon dan visual keseluruhan. Ia akan memberikan satu pengalaman baru. Antara fungsi dan ciri bagi kami menarik adalah;

Dynamic Effect – Kustomasi notifikasi pada Always-On Display, animasi pada pelancar, animasi pengimbas cap jari, animasi pengecasan dan lain-lain.

Face beauty for video call – Mod penuras kecantikan apabila membuat panggilan video.

Jovi Smart Scene – Hab pengguna bagi memaparkan gaya penggunaan peranti, perlindungan mata, widget markah daru pasukan sukan kegemaran, nasihat minum air, dan sistem penjejakan pengguna untuk berlari/berjalan.

Multi-Turbo – Sistem kecerdasan buatan memastikan peranti sentiasa mempunyai prestasi yang baik.

Smart Camera – Kemampuan mencadangkan posisi subjek ketika mengambil gambar kekal dalam bingkai, mengesan gambar yang ingin diambil seperti bangunan, pokok, makanan dan sebagainya, mod potret kecerdasan buatan yang akan menambah penuras mengikut individu dalam bingkai.

vivoshare – Fungsi memindahkan fail ke komputer riba secara nirwayar

Kamera

Disebabkan peranti ini memfokuskan swafoto, kita mulakan dengan kamera swafoto. Lensa yang digunakan adalah gabungan 32MP lensa utama dan 8MP lensa sudut ultra lebar dengan sudut pandangan 105 darjah. Untuk pengoptimasian swafoto di waktu malam, aplikasi kamera pada peranti menyokong flash dengan menyalakan kecerahan skrin pada tahap maksima. Tetapi bukan keseluruhan skrin, hanya bahagian wajah pengguna sahaja tidak agar ada kesan seakan cahaya lampu dari studio.

Tambahan lagi, dengan algoritma baharu pada penuras kecantikan dan fungsi AI Night Selfie mereka, ia boleh membuat proses mencantikkan subjek secara lapisan demi lapisan, menggunakan AI untuk pastikan subjek dalam bingkai dan juga membuang hingar spatial. Untuk videom Ultra Stable Selfie Video disertakan, untuk merakam video swafoto dalam keadaan yang stabil.

Kamera utama menggunakan empat lensa 48MP lensa utama, 8MP lensa sudut ultra lebar, 2MP lensa makro dan 2MP lensa bokeh. Seperti kemampuan swafoto, kamera belakang turut memfokuskan kemampuan fotografi di waktu malam. Pengguna boleh mengambil gambar potret di waktu malam tanpa masalah. Rakaman video juga akan menjanjikan pengalaman yang baik sekali. Lihat beberapa sampel di bawah yang mempunyai hasil yang agak memuaskan.

Rekaan

Peranti ini menggunakan panel belakang yang diperbuat dari kaca melengkung 3D. Unit ulasan yang kami gunakan ini adalah berwarna Sleek Silver. Ia mempunyai permukaan yang licin, mudah menangkap kesan cap jari dan minyak. Walaupun begitu, apabila disentuh ia terasa lembut dan tampak premium. Rekaan seperti ini kelihatan futuristik dengan warna krom yang seakan cermin. Logo Vivo jelas terpapar di bawah, dan modul kamera seakan segi empat di atas. Pada bahagian hadapan adalah satu gangguan oleh entiti dua lubang yang memantulkan cahaya, iaitu lesa kamera. Nasib baik, bezel hampir sekata, kelihatan kemas dan cantik. Cuma, dagunya sedikit tebal.

Sisi kanan adalah butang aras suara dan butang kuasa dan sisi kiri adalah slot kad SIM. Kedua-dua sisi turut ada corak garisan yang tenggelam ke dalam, memberi nilai estetik yang akan memuaskan pandangan mata pengguna. Atas pula hanya ada mikrofon dan bawah adalah kekisi pembesar suara, mikrofon, port USB-C, dan port bicu audio 3.5mm. Rekaan sebegini adalah amat selesa. Peranti ini apabila berada di tangan, seakan memegang sebuah peranti yang mahal.

Konklusi

Jika anda adalah seorang pengguna yang gemar berswafoto, tidak dinafikan lagi ini adalah peranti yang patut anda miliki. Dari kemampuan potret, swafoto di waktu malam, semuanya cantik belaka. Dengan kemampuan penstabilan imej kecerdasan buatan, tidak kira rakaman video dari kamera mana ia akan kekal stabil. Turut jelas di sini adalah, Vivo V19 dicipta untuk penggunaan ringan, gaya hidup dan media sosial. Tidak dinafikan yang peranti ini turut boleh menjadi alat untuk membuat kandungan di TikTok.

Disebabkan cip yang digunakan sedikit ketinggalan, iaitu Snapdragon 712. Pengalaman bermain permua mungkin akan kurang memuaskan. Sungguhpun begitu, memori besar disertakan akan membantu mengoptimasikan prestasi peranti ini. Tidak lupa juga yang, banyak fungsi kecerdasan buatan disertakan untuk memastikan peranti masih boleh mengendali permua dengan grafik tinggi.

Tarikh pelancaran dan harga jualan di Malaysia masih belum diketahui. Tetapi, anda teruskan sahaja ikuti kami di Amanz untuk berita mengenai peranti ini dan ulasan penuh kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd