Carian
Kelak WhatsApp Boleh Digunakan Pada Lebih Dari Satu Peranti Serentak
April 1, 2020 Effi Saharudin

Saya bukanlah pengguna tegar WhatsApp kerana pertama sekali ia hanya boleh digunakan pada satu peranti pada satu-satu masa. Sebagai insan yang kerap bertukar peranti untuk ulasan, proses mengaktifkan WhatsApp ada peranti baharu amat melecehkan. Tetapi ini mungkin akan dapat diselesaikan jika WhatsApp menyokong penggunaan pada lebih pada satu peranti serentak.

Menurut WaBetaInfo, ciri ini sedang dibangunkan oleh pihak WhatsApp. Apabila diaktifkan, pengguna akan menerima mesej akaun mereka akan digunakan pada peranti lain sebagai langkah keselamatan. Ciri sedang diuji pada WhatsApp Beta 2.20.110 untuk peranti Android.

Selain sokongan multi peranti serentak, WhatsApp juga masih menguji ciri mesej yang akan terpadam secara automatik. Seperti kami laporkan sebelum ini mesej boleh dipadam secara automatik selepas 1 hari, 1 minggu atau 1 bulan mengikut kehendak penghantar mesej.

Walaupun kesemua ciri-ciri ini sedang diuji ia tidak bererti ia akan diberikan kepada pengguna secepat mungkin. Mod tema gelap yang baru diaktifkan kepada semua tiga minggu yang lalu menjalani proses ujian selama hampir setahun.

Komen