Cari @ Amanz

Google sedia menawarkan sejumlah aplikasi dan perkhidmatan mereka melalui kedai aplikasi milik Apple, iaitu AppStore. Lebih kurang sama sepertinya, kini Huawei berharap Google dapat menawarkan aplikasi dan perkhidmatan mereka melalui kedai aplikasi Huawei untuk peranti mudah-alih, dinamakan AppGallery.

Seperti ramai sedia maklum, AppGallery merupakan alternatif untuk Google Play Store pada peranti Android keluaran Huawei. Mereka telah dihalang daripada berdagang dengan syarikat Amerika Syarikat – termasuk Google, membuatkan Huawei hadir dengan alternatif mereka tersendiri.

Buat masa ini, dua peranti mercu Huawei hadir dengan Huawei Mobile Services termasuk AppGallery – menggantikan Google Play Services.

Huawei AppGallery

Huawei sedia mengatakan sebelum ini, mereka masih berminat untuk terus bekerjasama dengan Google. Terbaru, melalui temuramah bersama CNBC, Huawei mengatakan mereka berharap perkhidmatan Google dapat ditawarkan melalui AppGallery, lebih kurang sama ia ditawarkan melalui Apple AppStore.

Buat masa ini, pihak Google masih belum mengeluarkan komen berkaitan dengannya, dan semestinya ramai nantikan langkah seterusnya bergantung kepada apa yang Google akan lakukan sekiranya kerajaan Amerika Syarikat memberi kebenaran berdagang untuk Huawei.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd