Cari @ Amanz

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sudah masuk ke minggu kedua dan akan berterusan selama dua minggu sahaja lagi. Kami yakin selepas dua minggu ramai sudah mempunyai rutin bekerja dari rumah yang memastikan kelangsungan kerjaya dan mengimbangi tanggungjawab domestik tanpa perlu menggunakan suara Doraemon.

Bagi membolehkan proses kerja dari rumah dilakukan tanpa sebarang masalah, syarikat-syarikat telekomunikasi utama negara telah menawarkan kuota data Internet percuma sebanyak 1GB di antara jam 8 pagi hingga 6 petang sepanjang tempoh PKP bermula hari ini.

Namun ada juga pihak yang berpendapat, penawaran data percuma sebanyak 1GB ini terasa agak terhad dan tidak mencukupi terutamanya untuk yang kaki Internet. Tetapi tahukah anda, sebenarnya ia bukanlah satu masalah besar sebaliknya banyak cara dan langkah mudah untuk mengurus penjimatan penggunaan data ini? Berikut penulis senaraikan beberapa langkah mudah yang boleh membantu meminimumkan penggunaan data anda berbanding kebiasaan.

1) Tetapkan Had & Matikan Data Mudah Alih Secara Automatik

Ini salah satu cara yang paling mudah yang boleh anda lakukan bagi mengurangkan jumlah data yang digunakan. Anda boleh mengehadkan penggunaan data mudah alih secara terus menerusi tetapan pada peranti. Di sini anda boleh melihat dan menguruskan penggunaan data dengan bijak. Melaluinya, anda boleh menetapkan jumlah maksimum data yang boleh diakses untuk tempoh masa tertentu dan peranti akan menyahaktifkan fungsi data mudah alih secara automatik sekiranya penggunaan data melebihi kapasiti yang ditetapkan.

Selain itu, terdapat juga tetapan penjimatan data di mana menghalang aplikasi daripada menggunakan data di belakang tabir tanpa anda ketahui. Untuk mengehadkan pengguna data pada peranti Android dan iOS sila ikuti langkah-langkah di bawah.

iOS

Settings > Mobile Data > Mobile Data Options > Low Data Mode

Android 

Settings > Connections >Data Usage > Mobile Data Usage > Tekan ikon Gear. Dari sini terdapat dua tetapan yang boleh dipilih. Set data warning  untuk memberikan amaran apabila penggunaan data melebihi had yang ditetapkan pengguna. Set data limit pula mematikan Internet sebaik sahaja kuota data yang ditetapkan dicapai. Dengan dua ciri ini anda tidak perlu risau terlebih menggunakan data harian.

2) Hadkan Penggunaan Aplikasi Penstriman

Kebanyakan video yang dimuat naik ke dalam laman sesawang kadang kala bersaiz besar dan mampu menghabiskan kuota data dengan cepat terutamanya aplikasi YouTube. Oleh itu, anda disarankan untuk menonton video pada definisi yang lebih rendah kerana semakin besar kualiti video makan semakin banyak data Internet anda akan digunakan.

Banyak aplikasi penstriman popular seperti Netflix dan YouTube menawarkan mod penjimatan secara terbina bagi mengurangkan penggunaan data. Melalui tetapan ini, video yang dipaparkan mungkin bukan terbaik tetapi boleh memastikan penggunaan data yang lebih optimum. Cara mengaktifkannya adalah seperti di bawah.

YouTube

  • Android  :  Account >  Settings > General > Limit Mobile Data Usage
  • iOS : Account >  Settings > Play HD on Wi-Fi only

Netflix

  • Android : More > App Settings > Video Playback > Cellular Data Usage > Save Data
  • iOS : More > App Settings > Cellular Data Usage > Save Data

3) Aktifkan Mod Penjimatan Secara Terbina Pada Aplikasi

Aplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram merupakan antara aplikasi yang menggunakan data yang tinggi pada sesebuah peranti mudah alih. Pun begitu, aplikasi ini telah menyertakan fungsi penjimatan data secara terbina yang dapat membantu mengurangkan penggunaan data.

Sebagai contoh Facebook, aplikasi ini mempunyai ciri ‘data saver’ secara terbina yang mana apabila diaktifkan ia akan mengurangkan kualiti imej dan menyekat video daripada dimainkan secara automatik. Selain itu, fungsi automain ini juga boleh dinyahaktifkan menerusi tetapan.

Untuk Instagram pula, anda boleh mengurangkan jumlah data yang digunakan menerusi tetapan tersedia. Klik pada Profil > Settings > Account > Mobile data use > Use Less Data. Melalui tetapan ini, video akan mengambil masa lebih lama untuk dimuat naik apabila menggunakan sambungan selular.

Sebagai alternatif, anda juga boleh mencuba beberapa aplikasi media sosial yang ringan dan bersaiz lebih kecil seperti Facebook Lite, YouTube Go, Messenger Lite, Twitter Lite dan banyak lagi. Aplikasi – aplikasi seperti ini tidak memakan data yang banyak apabila digunakan sekaligus sedikit sebanyak dapat bantu menjimatkan penggunaan kuota Internet.

4) Nyahaktifkan Kemas Kini & Fungsi Muat Turun Media Secara Automatik

Perasan atau tidak? Anda akan menerima pemberitahuan setiap kali versi kemas kini baru tersedia untuk peranti dan kebiasaannya ia akan dilakukan secara automatik. Sebaiknya, anda disarankan untuk menyahaktifkan tetapan ini kerana kemas kini secara automatik menelan sejumlah data yang besar. Untuk menyahaktif, anda hanya perlu buka aplikasi

Google Play Store

Dari dalam aplikasi – Settings > Auto-Update apps > Do not auto update apps.

Apple App Store

Dari Settings > iTunes & App Store > Automatic Downloads > App Updates > Matikan

Melalui tetapan ini juga, anda boleh menetapkan kemas kini secara manual dan kemas kini aplikasi hanya menggunakan Wi-Fi untuk penjimatan lebih menyeluruh.

Pada masa sama, anda juga disarankan untuk menyahaktifkan fungsi muat turun media secara automatik pada aplikasi WhatsApp dan Telegram bagi penjimatan data lebih baik.

WhatsApp

  • Android : Settings > Data & Storage Usage > Media Auto Download > When using mobile data > Nyahpilih semua.
  • iOS : Settings > Data & Storage Usage > Media Auto Download > Pilih Never on setiap kategori Photos, Audio, Videos dan Documents.

Telegram

  • Settings > Data & Storage > Automatic Media Download

5) Matikan Data Mudah Alih Apabila Tidak Digunakan

Langkah paling mudah! Matikan data mudah alih anda apabila tidak digunakan. Cara ini secara tidak langsung membantu anda menggunakan data mudah alih secara minima terutamanya pada kuota yang terhad. Selain itu, anda juga disarankan untuk menyahaktifkan pemberitahuan untuk aplikasi yang tidak diperlukan.


Berikut adalah beberapa langkah mudah untuk mengurangkan penggunaan data pada peranti mudah alih terutamanya untuk kuota yang terhad. Adakah ia membantu anda? Kongsikan pendapat anda dengan kami di ruangan komen di bawah! Sekadar selingan, jangan lupa tebus data Internet berkelajuan tinggi 1GB data percuma mulai hari ini!. Jaga diri dan kekal tenang duduk di rumah masing – masing bagi menangani penularan COVID-19 di negara kita.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd