Pada pertengahan tahun lepas, NVIDIA telah memperkenalkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX Super sebagai sebuah penaiktarafan kepada siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX khusus untuk mereka yang inginkan prestasi terbaik daripada sebuah kad grafik, dan mempunyai wang untuk membelinya.
Terkini NVIDIA telah membawa penaiktarafan yang sama kepada siri kad grafik untuk platform komputer riba, dan buat masa ini, terdapat empat model yang diperkenalkan, iaitu NVIDIA GeForce RTX 2080 Super, NVIDIA GeForce RTX 2070 Super dan variasi Max-Q untuk kedua-dua kad grafik tersebut.
Menariknya, kesemua kad grafik yang dibina untuk komputer riba ini hadir dengan jumlah teras CUDA yang sama seperti variasi desktop, iaitu 3072 teras untuk RTX 2080 Super dan variasi Max-Q, dan juga 2560 teras CUDA untuk RTX 2070 Super dan variasi Max-Q yang sama.
Perbezaan ketara yang dapat dilihat pada versi Max-P dan Max-Q hadir pada kelajuan Boost Clock dan jumlah kuasa yang digunakan GPU dimana RTX 2080 Super mempunyai kelajuan Boost Clock 1560MHz dan menggunakan sebanyak 150W, manakala variasi Max-Q mempunyai kelajuan Boost Clock 1080MHz dan menggunakan kuasa serendah 80W sahaja.
Kad grafik RTX 2070 Super pula mempunyai kelajuan Boost Clock 1360MHz dan menggunakan kuasa setinggi 115W, manakala variasi Max-Q hadir dengan kelajuan Boost Clock 1150MHz dan menggunakan kuasa serendah 80W juga.
Menurut NVIDIA, sekitar 100 model komputer riba gaming yang menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX Super dan Super Max-Q ini akan mula diperkenalkan dan tiba di pasaran sekitar bulan April dan Mei sepanjang tahun ini.