Illegear Mengemaskini Siri Komputer Riba Gaming Mereka Dengan CPU Intel Dan Kad Grafik NVIDIA Terbaru

Illegear Mengemaskini Siri Komputer Riba Gaming Mereka Dengan CPU Intel Dan Kad Grafik NVIDIA Terbaru

Diterbitkan pada Apr 3, 2020 oleh .

Illegear ialah sebuah jenama komputer riba tempatan yang terkenal untuk kebolehan mengubahsuai komponen dalaman mengikut kehendak dan keperluan pengguna.

Hari ini, mereka mengumumkan bahawa beberapa daripada siri komputer riba mereka kini telah dikemaskini dengan pilihan CPU Intel generasi kesepuluh terbaru dan juga siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX Super untuk komputer riba.

Bermula dengan Illegear Onyx Pro dan Selenite Pro, kedua-dua komputer riba bersaiz 15,6 dan 17 inci ini dikemaskini dengan CPU Intel Core i7-10875H, pilihan memori DDR4 sehingga 64GB dan dua slot storan SSD NVME PCIe.

Dari segi kad grafik, Illegear telah menambahkan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070 Super yang terbaru, termasuklah NVIDIA GeForce RTX 2060 dan GeForce RTX 2070 sebelum ini.

Dari segi tanda harga, Illegear Onyx Pro bermula dari RM7099, manakala Illegear Selenite Pro bermula dari RM7399.

Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba gaming dengan spesifikasi kelas pertengahan dan harga yang lebih mampu milik, Illegear Raven SE mungkin pilihan anda.

Komputer riba dengan paparan bersaiz 15.6 inci ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i5-10300H dengan pilihan memori DDR4 sehingga 64GB, dan pilihan untuk memuatkan dua storan SSD NVME PCIe.

Ia juga dikemaskini dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650Ti disamping kad-kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650 dan GeForce RTX2060 yang ditawarkan sebelum ini.

Illegear Raven SE dengan spesifikasi yang dikemaskini boleh dibeli pada harga bermula RM3599.

Illegear Prodigy dan Illegear Rogue adalah diantara komputer riba gaming paling nipis oleh mereka, dan kedua-dua komputer riba ini turut menerima kemaskini dari segi CPU, dimana ia kini dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-10750H, memori DDR4 sebanyak 64GB dan dua storan SSD NVME PCIe. Tiada perubahan dilihat dari segi kad grafik, dimana kedua-dua model menggunakan NVIDIA GeForce RTX 2060.

Illegear Prodigy bermula dari harga RM5449, manakala Illegear Rogue pula dari harga RM5299.

Produk yang terakhir ialah Illegear Selenite G. Ia adalah sebuah komputer riba gaming dengan paparan 17 inci yang cukup berkuasa.

Ia dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-108750H, pilihan memori DDR4 sehingga 64GB dan dua storan SSD NVME PCIE. Dari segi pilihan kad grafik pula ia dikemaskini dengan pilihan NVIDIA GeForce RTX 2070 Super.

Illegear Selenite G ini boleh dibeli dari harga bermula RM5999.



TIPS & ULASAN