Cari @ Amanz

Huawei Malaysia hari ini telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan, iaitu siri Huawei P40. Tiga peranti diperkenalkan dibawah siri Huawei P40, iaitu Huawei P40, Huawei P40 Pro, dan juga Huawei P40 Pro Plus.

Huawei P40 versi asas hadir dengan skrin 6.1-inci dengan rekaan melengkung tepi disemua sisi, menawarkan kadar segar semula sehingga 60Hz, dijana cip Kirin 990 dengan sokongan rangkaian 5G, storan 128GB, menawarkan bateri berkapasiti 3800mAh dan menyokong pengecasan berwayar 40W.

Untuk swafoto, Huawei menyertakan sensor 32-megapixel dihadapan. Untuk rakaman gambar utama, variasi Huawei P40 asas ini hadir dengan kamera belakang dengan sensor utama 50-megapixel, digabungkan dengan kamera 8-megapixel telefoto untuk zum sehingga 3x, rakaman sudut luas melalui sensor 16-megapixel, dan juga sensor untuk warna suhu. Huawei menyertakan sokongan kalis percikkan IP53 bersama dengannya.

Huawei P40

Huawei P40 Pro pula merupakan peranti yang menerima perhatian utama dalam pelancaran. Ia hadir dengan skrin 6.58-inci OLED dengan kadar segar semula 90Hz, dijana cip Kirin 990, storan 256GB, bateri 4200mAh dengan sokongan pengecasan pantas 40W dan pengecasan nirwayar 40W, serta sokongan kalis air IP68.

Untuk rakaman swafoto, ia menyertakan kamera utama 32-megapixel, dilengkapi sensor untuk rakaman bokeh, dan juga sensor IR untuk nyah-kunci berasaskan wajah.

Untuk rakaman gambar utama pula, Huawei P40 hadir dengan sensor utama 50-megapixel, dilengkapi sensor ultra-lebar 40MP, sensor 12MP telefoto untuk zum optikal sehingga 5x, sensor untuk warna suhu dan juga sensor ToF. Huawei turut mengatakan ia menyokong PDAF dan juga OIS untuk rakaman lebih baik menggunakannya.

Melalui kamera berkuasa ini, ia turut menyertakan ciri seperti rakaman video 4K pada kadar 60fps, kebolehan rakaman video HDR, selain rakaman gerak-perlahan 4K.

Huawei P40 Pro

Telefon paling premium dibawah siri Huawei P40 ini adalah Huawei P40 Pro Plus. Ia dilihat sebagai jawapan untuk Samsung Galaxy S20 Ultra. Telefon pintar ini hadir dengan binaan kerangka berasaskan seramik, selain kamera lebih berkuasa berbanding Huawei P40 Pro. Huawei P40 Pro menyertakan sokongan zum optikal sehingga 10x berbanding hanya 5x pada versi Pro biasa. Penawaran lain adalah lebih kurang sama seperti Huawei P40 Pro.

Huawei P40 Pro

Melengkapkan kesemua siri ini adalah sokongan pengimbas cap jari pada skrin yang beroperasi lebih pantas. Huawei turut menggunakan sistem operasi berasaskan Android pada telefon pintar ini, dan menggunakan Huawei Mobile Services serta kedai aplikasi AppGallery. Huawei menyertakan antaramuka EMUI 10.1 bersama dengannya, selain pembantu maya tersendiri dinamakan Celia.

Di Malaysia, Huawei P40 akan ditawarkan pada harga RM2799, versi Huawei P40 Pro pula pada harga RM3899, dan Huawei P40 Pro Plus pula ditawarkan pada harga RM4999. Huawei Malaysia akan menawarkan Huawei P40 dan Huawei P40 Pro terlebih dahulu, dan menawarkan Huawei P40 Pro Plus pada kemudian hari.

Pra-tempahan akan dimulakan bermula 3 April ini sehingga 10 April, dan penghantaran akan dilakukan bermula 11 April. Untuk pra-tempahan, pihak Huawei menawarkan Huawei Freebuds 3 secara percuma, storan 50GB, jaminan tambahan 1 tahun, 3 bulan langganan percuma untuk Huawei Video, pengecas nirwayar untuk Huawei P40, dan pengecash nirwayar dalam kenderaan untuk Huawei P40 Pro.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd