Carian
Menara 5G Dibakar Di United Kingdom Kerana Didakwa Menyebarkan Covid-19
April 6, 2020 Effi Saharudin

Covid-19 ialah wabak yang kini menjangkiti lebih 1 juta penduduk dunia dengan kematian mencecah puluhan ribu. Saintis percaya wabak bermula di China selepas virus melompat dari haiwan ke manusia di pasar bekalan daging eksotik. Tetapi di atas talian anda pasti ada melihat teori konspirasi yang mendakwa ia disebabkan oleh rangkaian 5G dan akibatnya di United Kingdom beberapa menara telekomunikasi telah dibakar.

Menara TelekomunikasiSebanyak tiga menara 5G telah dibakar di Birmingham minggu lalu sehingga menyebabkan gangguan rangkaian selular. Teori menjadi tular selepas beberapa selebriti popular berkongsi pautannya di media sosial tanpa mendapatkan pengesahan ia benar ataupun tidak. Akibat dari insiden ini, kerajaan UK kini meminta syarikat media sosial seperti Twitter dan Facebook untuk memantau kandungan yang disebarkan terutamanya berita palsu.

Teori konspirasi 5G mengakibatkan wabak koronavirus mula kami lihat dua minggu yang lalu selepas video yang mendakwa warga China merobohkan menara telekomunikasi tular di media sosial. Video sebenarnya menunjukkan menara kamera litar tertutup dirobohkan di Hong Kong bagi mengelakkan pemantauan oleh kerajaan China ketika rakyat menunjukkan perasaan tahun lalu.

Kami tahu apa yang tular di media sosial mudah disebarkan dengan menekan satu butang. Tetapi ingatkan untuk berfikir sebelum menyebar kerana anda boleh didakwa akibat menyebarkan kebathilan. Pada waktu yang sama ia menunjukkan dalam situasi pandemik, berita palsu juga boleh menipu warga negara yang selama ini kita lihat sebagai maju serta bertamadun.

Komen