Carian
Tau Adalah Power Bank Rantai Kunci Yang Baterinya Sentiasa Penuh
April 7, 2020 Fahim Zahar

Power bank adalah aksesori wajib bagi pemilik telefon pintar. Tidak kiralah iPhone atau mana-mana peranti Android, jika penggunaan anda ekstrem – power bank adalah wajib. Namun, kebanyakan power bank yang benar-benar menepati cita rasa pengguna adalah besar, berat dan tebal. Sehinggalah Rolling Square hadir dengan Tau.

Rolling Square adalah syarikat yang mencipta kabel inCharge. Iaitu kabel semua dalam satu dalam bentuk rantai kunci. Kabelnya adalah 6 dalam 1, iaitu C-C, A-C, A-Lightning, C-Lightning, A-MicroUSB dan C-MicroUSB. Melalui Tau, mereka telah mencipta sebuah power bank bersaiz kecil dan turut boleh dijadikan sebagai rantai kunci untuk kunci-kunci anda. Apa yang menarik dengan Tau ini adalah, bateri di dalamnya akan sentiasa dicas dengan sendiri.

Tau hadir dengan bateri bersaiz 1,400mAh. Dalam pakej belian, terdapat dermaga pengecasan magnetik disediakan. Maksud sentiasa dicas dengan sendiri adalalah, Tau sejenis rantai kunci – tiba ke pejabat atau balik rumah anda pasti akan sangkut kunci anda. Tetapi dengan dermaga pengecasan magnetik ini, Tau akan dilekat pada dinding misal kata bersama-sama dengan kunci anda dan sambil itu ia akan dicas dengan sendiri. Jadi setiap kali anda ingin ke mana-mana, ambil sahaja Tau anda akan ada kunci anda dan power bank yang sentiasa ada kuasa.

Tau juga hadir dengan kabel terbina. Satu kabel ialah USB-C, satu lagi adalah Lightning/MicroUSB. Jika anda rasa saiz 1400mAh itu kecil, fikir kembali apakah tujuan power bank? Ia adalah sumber kuasa kecemasan untuk mengecas peranti anda. Bukannya pengganti kepada pengecas anda.

Tau ditawarkan dalam tiga warna, Charcoal Black, Agave Green dan White White. Produk ini dibiaya melalui laman biayasama Indiegogo dengan harga serendah RM71 sebuah atau RM113 dua buah (sudah habis stok). Rolling Square turut menawarkan harga pembiaya terawal RM85 sebuah, RM189 tiga buah dan meningkat sehingga RM264.

Komen