Carian
Quibi Ialah Platform Penstriman Video Pendek Sepanjang 10 Minit Sahaja
April 7, 2020 Effi Saharudin

Sebuah lagi platform penstriman video dilancarkan hari ini secara global. Quibi berbeza dengan platform penstriman berbayar kerana video yang distrim boleh ditonton secara menegak atau mendatar. Video yang distrim berubah format secara nyata tanpa pengguna perlu menerusi skrin penampan.

Seperkara lagi yang membezakan Quibi dengan platform lain ialah kandungan yang ditawarkan mempunyai panjang maksimum 10 minit. Sebanyak 25 episod pendek baharu akan dilancarkan setiap hari. Dengan format ini filem yang ditonton secara berepisod, Quibi akan menawarkan 175 kandungan asli pada tahun pertama operasi.

Antara kandungan yang ditawarkan ialah siri Punk’d baharu dengan hos Chance The Rapper,  Survive​ dengan Sophie Turner, dan Most Dangerous Game ​dengan Liam Hemsworth serta Christoph Waltz.

Mengapa Quibi dilancarkan di dalam pasaran yang penuh dengan platform penstriman? Menurut pengasasnya Jeffrey Katzenberg yang pernah mengetuai studio Disney dan Dreamworks, Quibi menyasarkan tontonan ke dan dari tempat kerja. Oleh itu kandungannya yang pendek boleh ditonton dengan lebih mudah.

Malahan nama Quibi itu sendiri adalah singkatan untuk Quick Bites. Atas sebab yang sama ia hanya boleh distrim menggunakan aplikasi Android dan iOS sahaja. Di Malaysia Quibi boleh dilanggan pada harga RM35.90 sebulan dan anda boleh mencubanya secara percuma selama 90 hari.

Komen