Siri-Z dari OnePlus adalah siri baru yang belum lagi dilancarkan. Setakat ini, berdasarkan ura-ura akan ada dua produk – iaitu telefon pintar dan aksesori audio. Telefon pintar adalah OnePlus Z, yang dikatakan adalah peranti OnePlus 8 Lite. Manakala, aksesori audio adalah OnePlus Bullets Wireless Z – iaitu versi murah Bullets Wireless 2. OnePlus Bullets Wireless Z sudah pun tertiris sebelum ini, memperlihatkan pelbagai variasi warna dan bukannya TWS tetapi adalah set fon telinga nirwayar jenis neckband.
Terkini, butiran lanjut mengenai aksesori audio ini muncul lagi. Bullets Wireless Z dikatakan akan mempunyai ketahanan bateri selama 20 jam, yang mana 10 jam penggunaan adalah 10 minit pengecasan. Ini bermakna 20 minit adalah cas penuh. Bukan itu sahaja, sistem pengecasan yang digunakan adalah Warp Charge – iaitu pengecasan pantas 30W yang sama digunakan pada peranti OnePlus 7 Pro ke atas. Ia juga akan mempunyai perlindungan IP55 dan teknologi Bluetooth masa pendam rendah 110ms. Butiran lain masih tidak diketahui, kita akan tahu lebih lanjut mungkin pada 14 April kelak.